MELAKA: Ganjaran bernilai RM3,000 menerusi Anugerah Semarak Gemilang menanti individu dan organisasi di Melaka terpilih yang menceriakan bangunan atau rumah kediaman dengan Jalur Gemilang.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata anugerah itu dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Melaka untuk menyemarakkan orang ramai mengibar Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan ini.

"Dalam masa yang sama, selepas pelancaran ini kita akan minta pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan pendekatan lebih proaktif untuk menggalakkan semua pemilik bangunan atau rumah di kawasan mereka untuk mengibar Jalur Gemilang.

"Ini ialah tanda cinta kita kepada negara, aspirasi melahirkan generasi Malaysia MADANI di bawah satu bumbung perpaduan," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di sini malam tadi.

Sambutan peringkat negeri Melaka itu berlangsung di Dataran Bandaraya MBMB Ayer Keroh dengan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Suhaimi Sulaiman, barisan kepimpinan negeri serta PBT.

Katanya, selain mengibarkan Jalur Gemilang, pemindaan cuti umum Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Melaka Bersejarah kepada cuti umum sambutan Hari Pengisytiharan Kemerdekaan pada 31 Ogos ini juga memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menghayati detik bersejarah ini.

Terdahulu, lebih 2,000 pengunjung memeriahkan sambutan itu yang turut diadakan Konsert Gegau Melaka-Perpaduan Cintakan Negara yang dimeriahkan oleh artis terkenal antaranya Ramlah Ram, Marsha, Santesh dan Datuk Nash di samping persembahan dondang sayang dan deklamasi sajak.

-- BERNAMA