Tiga lelaki cedera parah ditembak dipercayai berpunca daripada satu perlawanan bola sepak membabitkan penyokong kelab dua pasukan pada petang Ahad.

Dalam kejadian sekitar 8 malam itu, tiga lelaki berusia 21 sehingga 29 tahun, cedera parah dalam satu kejadian tembak di sebuah kedai berhampiran Jalan Kledang Timur, Menglembu dekat sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata ketiga-tiga mangsa dan suspek yang dipercayai lebih daripada seorang merupakan penyokong kelab bola sepak terbabit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati penyokong kedua-dua kelab itu merupakan dua kumpulan gengster.

“Semasa perlawanan berlangsung di Padang Ipoh sekitar 4 petang Ahad, berlaku pertelingkahan di antara kedua-dua pasukan dan pada hari sama suspek telah menelefon salah seorang mangsa untuk berbincang, bagaimanapun perbincangan gagal dan menjadi hangat.

"Suspek kemudiannya telah melepaskan enam tembakan ke arah tiga mangsa dan mengenai mereka, dan siasatan mendapati pistol digunakan jenis Revolver," katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan media di sini.

Jelas Hasnan, ketiga-tiga mangsa yang mengalami kecederaan ditembak di perut dan di lengan.

“Polis telah menangkap empat suspek lelaki berusia 21 hingga 35 tahun sekitar Ipoh dan kesemua mereka berasal dari Batu Gajah.

“Siasatan mendapati kesemua mangsa dan suspek merupakan anggota geng 08 dan geng 21 daripada Menglembu dan Batu Gajah.

“Buat masa ini, tujuh suspek telah dikenal pasti terlibat kejadian tembak-menembak dan polis sedang mengesan ahli kumpulan lain daripada kedua-dua kumpulan gengster itu,” katanya lagi.

Hasnan berkata kes disiasat di bawah kesalahan membunuh Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan memiliki senjata api iaitu Seksyen 39 Akta Senjata 1960.