Dikatakan hanya kerana mahu meminjam wang sebanyak RM20, seorang pemuda cedera dibelasah dua lelaki.

Kejadian berlaku di Kampung Batu Satu, Kemaman kira-kira jam 4.30 pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Said Ibrahim ketika mengesahkan kejadian pada Rabu berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan datang ke rumah bekas kekasihnya untuk meminjam wang.

Menurut Mohd Said, sejurus tiba di perkarangan rumah tersebut suspek yang merupakan suami kepada wanita itu dan adik lelakinya bertindak menyerang mangsa.

Mangsa telah dibelasah di dalam sebuah longkang dan kedua-dua suspek telah bertindak menumbuk muka dan memijak badan mangsa.


Ekoran itu mangsa yang berusia 20 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan.

Menurut Mohd Said pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berkenaan kejadian tersebut.

Kes disiasat dibawah seksyen 323 Kanun Keseksaan, kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.