Ngtini Karchin berkata, ekoran ketiadaan huruf ‘A’ itu turut menyebabkan ramai menyangka dia adalah dari keturunan bangsa Cina.
Menurut individu berusia 59 tahun itu, pelbagai versi sebutan juga telah didengari selama ini ekoran ejaan namanya itu.
“Nama saya bapa yang pilih. Saya pun tak tahu macam mana boleh tertinggal huruf ‘a’ sepatutnya ejaannya Ngatini tapi lain pula bila dalam kad pengenalan.
“Ekoran itu ada yang panggil saya N..G..tini. Ada juga yang panggil Eng(ng)tini macam nama Cina sebab nama orang Cina selalu Ng di depan.
“Jadi bila sebut macam tu mereka akan tanya makcik ni keturunan Cina ke? Saya pun jawab saya keturunan jawa,” kata ibu kepada lapan orang anak itu.
Katanya, menurut arwah bapa, namanya diambil sempena kelahirannya pada hari Jumaat di mana sebutan dalam bahasa jawa Jumaat adalah ‘nga’.
Jelasnya, dia hanya mula menyedari tentang ejaan namanya yang tertinggal abjad itu ketika berurusan dengan sebuah jabatan kerajaan.
“Saya buat kad pengenalan dengan arwah abah. Memang tak tahu apa masa tu saya hanya mengikut sahaja.
“Sampailah satu hari bila saya berurusan dengan sebuah jabatan kerajaan mereka tanya macam mana nak sebut nama saya.
“Sebenarnya ejaan nama saya memang ada huruf ‘a’ seperti dalam surat beranak. Tapi masa buat kad pengenalan surat beranak saya rosak kerana terbasuh sekali. Maklumlah orang dulu-dulu dokumen penting macam surat beranak tak berapa nak kisah sangat,” katanya lagi.
Anak ke tiga dari empat beradik itu berkata, dia merupakan seorang yang tidak pandai mengeja tulisan rumi dan hanya pandai membaca jawi sahaja.
Katanya, ekoran ketiadaan surat beranak juga menyebabkan sewaktu kecil dia tidak dapat ke sekolah kebangsaan.
“Mak dan bapa bukan orang senang kerja estet masa tu. Dulu-dulu pelajaran memang tidak diambil berat sangat. Jadi bila tak ada surat beranak saya tak boleh sekolah kebangsaan, arwah pun tak berapa kisah sangat.
“Mujur saya boleh bersekolah agama. Jadi pandailah membaca tulisan Jawi. Sebab itulah saya sendiri tak tahu bahawa ejaan nama di kad pengenalan saya tiada ‘a’,” katanya lagi.
Ngtini berkata, apa berlaku kepada dirinya menyebabkan dia begitu menitikberatkan pendidikan kepada anak-anaknya.
Baginya, pendidikan amat penting bukan semata-mata supaya anaknya pandai mengeja nama sendiri, tetapi untuk mendapatkan masa depan lebih baik.
“Saya tak sekolah, saya tak mahu anak-anak jadi macam saya. Tak pandai mengeja. Saya nekad bantu suami untuk menyekolahkan semua anak-anak.
“Saya tak kisah meskipun terpaksa membanting tulang asalkan matlamat saya untuk lihat anak berpelajaran tercapai.
“Alhamdulillah enam orang anak saya dapat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi termasuklah universiti,” katanya lagi.