IPOH: Seorang lelaki warganegara Bangladesh didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM50 kepada seorang sarjan polis, tahun lepas.

Tertuduh, Khan Obaydul, 30, seorang pekerja ladang, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai RM50 kepada seorang sarjan polis.

Ia sebagai balasan untuk melepaskannya daripada diambil tindakan undang-undang kerana tidak memakai topi keledar semasa menunggang motosikal.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Jalan Kampung Muhibbah, Ayer Tawar, Manjung, kira-kira jam 2 petang, 11 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara sebulan jika tertuduh gagal nembayar denda.

Wang  rasuah berjumlah RM50 juga adalah dilucuthakkan di bawah seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kepada kerajaan Malaysia.

Tertuduh kemudiannya membayar denda itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.