BRUSSELS: Majlis sambutan bagi meraikan ketibaan panda gergasi dari China, Ran Ran, diadakan di Lapangan Terbang Brussels pada pagi Sabtu, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjasama pemuliharaan dan penyelidikan panda gergasi antara China dengan Belgium, lapor Xinhua.
Ran Ran, panda betina berusia sembilan tahun, akan dipindahkan ke Pairi Daiza, sebuah zoo di Brugelette, Belgium, untuk ditempatkan bersama Xing Hui, seekor panda jantan.
Li Yan, Kuasa Usaha Kedutaan China di Belgium, berkata pada majlis itu bahawa panda gergasi sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hubungan persahabatan antara China dengan Belgium.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dan ketibaan Ran Ran merupakan hadiah bagi meraikan persahabatan itu.
Pengasas merangkap Pengerusi Pairi Daiza Eric Domb berkata kerjasama selama 12 tahun itu bakal memberikan kenangan zaman kanak-kanak yang indah kepada kanak-kanak di Belgium.
Beliau turut memberikan penghargaan terhadap usaha China dalam melindungi panda gergasi serta habitat semula jadi haiwan berkenaan.
Pada Februari 2014, dua ekor panda gergasi, Hao Hao dan Xing Hui, tiba di Belgium menerusi perjanjian kerjasama dua hala selama 15 tahun.
Sepanjang berada di Pairi Daiza, Hao Hao melahirkan tiga ekor anak panda, iaitu Tian Bao serta pasangan kembar Bao Di dan Bao Mei.
Ketiga-tiga panda yang dilahirkan di Belgium itu kembali ke China pada Disember 2024, diikuti ibu mereka, Hao Hao, pada Disember 2025 bagi mendapatkan rawatan perubatan.
Dengan ketibaan Ran Ran, Pairi Daiza sekali lagi akan menjadi tempat tinggal bagi sepasang panda gergasi.
-- BERNAMA-XINHUA