KULIM: Akibat tidak puas hati dengan bunyi hon, seorang lelaki naik angin lalu bertindak memecahkan cermin belakang sebelah kiri sebuah kereta dengan menggunakan besi pengunci stereng.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, dalam kejadian pada jam 5.50 petang Selasa itu, mangsa lelaki berusia 37 tahun sedang memandu kereta jenis Proton Wira di susur keluar Lebuhraya Butterworth Kulim Ekspressway (BKE), dekat Kulim.

Beliau berkata, ketika itu datang sebuah kereta jenis Nissan Almera yang dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah belakang menggunakan lorong kecemasan.

"Pemandu kereta Nissan Almera itu cuba memotong kereta mangsa tetapi mangsa tidak memberi laluan kepada lelaki berkenaan.

"Berikutan itu, lelaki terbabit (pemandu Almera) terus membunyikan hon terhadap mangsa seperti tidak berpuas hati malah mangsa turut membalas dengan membunyikan hon keretanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, sebaik tiba di susur keluar Lunas lelaki terbabit kemudian menyekat kereta mangsa di tepi jalan.

Katanya, selepas itu pemandu Almera terbabit keluar dari keretanya sambil membawa besi penguinci stereng berwarna kuning terus memecahkan cermin belakang sebelah kiri kereta mangsa.

"Mangsa terus memandu keretanya ke balai polis namun lelaki itu turut mengekorinya daripada arah belakang.

"Sebaik mangsa sampai di Balai Polis Lunas, pemandu yang berang itu terus memecut keretanya (meninggalkan mangsa)," katanya.

Azhar berkata, susulan dari laporan yang dibuat mangsa, sepasukan pegawai dan anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim berjaya menahan lelaki berkenaan di sebuah rumah di Taman Mewah.

Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan berkaitan kejadian khianat yang dilakukan lelaki terbabit yang bertindak memecah cermin kereta di tepi jalan susur keluar Lebuhraya BKE Lunas.

"Kereta Nissan Almera yang dipandu lelaki itu pada hari kejadian turut dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan mendapati, lelaki yang bekerja sebagai peniaga itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah," katanya.

Azhar berkata, siasatan juga mendapati, suspek tidak berpuas hati terhadap pengadu yang membunyikan hon terhadapnya ketika hari kejadian.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 20 Mac untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.