MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menambah baik garis panduan dan penyelenggaraan pokok-pokok di tepi jalan dalam kawasan pentadbiran masing-masing bagi mengelakkan risiko kejadian tumbang sekiranya berlaku ribut.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata dalam keadaan cuaca tidak menentu, langkah itu bertujuan memastikan pokok-pokok berkenaan sentiasa dalam keadaan baik terutamanya yang telah berusia supaya tidak mengundang bahaya kepada orang ramai.

"Saya akan meminta PBT menerusi Jabatan Landskap masing-masing untuk memantau dan meneliti sekiranya pokok itu dalam inventori tidak boleh ditebang dan kita akan lihat jenis tindakan yang boleh dilakukan kerana faktor keselamatan ialah segala-galanya.

"Sebagai contoh, seperti pokok berusia yang sangat lama terdapat di Kampung Tampoi, Krubong dan Kampung Cheng, jika tiada pilihan pokok itu perlu ditebang kalau tidak ia akan tumbang jika berlaku bencana ribut dan berbahaya kepada orang ramai," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 100 penerima di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) Paya Rumput dan mengadakan Program Ziarah SWM Kasih Cahaya Deepavali di empat rumah penerima yang turut dihadiri Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Mengulas lanjut, Rais berkata masyarakat di negeri ini juga diminta membuat aduan tentang pokok-pokok yang berisiko tumbang kepada PBT masing-masing dengan segera supaya tindakan dapat diambil atau menyalurkan maklumat secara terus kepada beliau sendiri sekiranya masih tiada tindakan.

Dalam pada itu, beliau berkata PBT bersama agensi dan jabatan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bekerjasama bagi memastikan sistem perparitan sentiasa diselenggara bagi mengurangkan risiko banjir terutamanya menjelang Monsun Timur Laut (MTL).

"Ada kawasan kita dapati terdapat longkang tersumbat disebabkan sampah sarap dan ranting kayu, justeru kita telah minta mereka melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi berkenaan bagi melancarkan aliran air supaya mengelakkan risiko banjir," katanya.

-- BERNAMA