ISTANBUL: Delegasi Malaysia akan menjalani latihan antikekerasan hari ini, sebagai salah satu prosedur wajib sebelum memulakan misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla.

Beberapa delegasi negara lain juga turut serta antaranya dari Kanada, Algeria, Belanda, Jerman, New Zealand dan Scotland.

Menurut Ahli Lembaga pemegang Amanah MyCARE, Dr Fauziah Mohd Hasan, latihan ini adalah bagi mempersiapkan peserta dengan segala kemungkinan yang akan berlaku semasa pelayaran menghantar bantuan ke Gaza.

Ini termasuk ancaman dan provokasi daripada pihak tentera rejim Israel.

“Latihan ini akan menyiapkan peserta iaitu dengan memberitahu apa sahaja perkara yang boleh kita lakukan dan apa yang tidak boleh kita lakukan.

“FFC juga akan membuat simulasi apabila wujud ancaman daripada tentera Israel termasuk menangkap, menculik peserta serta merampas kapal yang terlibat dalam misi ini.

“Antara ilmu penting yang diturunkan semasa latihan adalah, kita (peserta) tidak perlu melawan mereka apabila ditangkap dan perlu mengikuti apa sahaja arahan yang dikeluarkan sekiranya berlaku perkara tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Dr Fauziah berkata selain simulasi, beberapa perkara penting lain turut ditekankan semasa latihan antikekerasan berlangsung.

“Sekiranya ditangkap pasti akan ada beberapa persoalan-persoalan ditanya oleh tentera rejim dan sebagainya, untuk itu latihan ini akan turut memandang aspek persiapan ini kepada para peserta.

“Malah (berdasarkan pengalaman lalu) ada beberapa dokumen di mana setiap peserta yang ditahan perlu menurunkan tandatangan dan kesemua dokumen ini dalam bahasa Hebrew.

“Jadi latihan hari ini akan juga memfokuskan situasi kecemasan seperti ini di mana para peserta akan turut dinasihatkan untuk tidak sesekali akur dan tunduk seterusnya untuk tidak menandatangani apa sahaja dokumen yang diberikan sekiranya ditahan,” tambahnya.

Freedom Flotilla Coalition (FFC) sebelum ini mengesahkan tiga kapal yang terlibat dalam misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla dijangka akan memulakan pelayaran pada 24 April 2024 bersamaan hari Rabu.

Penangguhan pelayaran yang sepatutnya dijadualkan pada 21 April (Ahad) disebabkan beberapa masalah teknikal yang masih dihadapi ketiga-tiga kapal terlibat.

Selain itu, Jawatankuasa Pemandu FFC, Ann Wright juga berkata pihaknya juga telah menghantar wakil mereka bertemu dengan wakil tertinggi kerajaan Turki di Ankara bagi memberi tekanan kepada kerajaan negera ini bagi memastikan kelancaran pelepasan kapal-kapal terlibat dalam misi ini.

Misi ini akan melibatkan satu kapal kargo 5000 tan dan dua kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1000 orang.

Kapal-kapal ini akan membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti bantuan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan, dan beberapa buah kenderaan termasuk lapan buah ambulans.