Gelembung AI: AS bimbang, Asia berkembang

Permintaan global terhadap cip dan komponen elektronik kini menjadi pemacu utama eksport Asia, - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Di sebalik kebimbangan Wall Street terhadap kemungkinan tercetusnya ‘gelembung AI’, Asia kini muncul sebagai penerima manfaat utama daripada lonjakan pelaburan global dalam kecerdasan buatan (AI).
Ringkasan AI
- Asia muncul sebagai penerima manfaat utama pelaburan AI global, dengan lonjakan modal dari syarikat gergasi seperti Microsoft dan Amazon meningkatkan permintaan terhadap semikonduktor dan infrastruktur digital.
- Pasaran Wall Street mula bimbang terhadap euforia pelaburan AI, dengan pulangan projek awal yang rendah dan risiko pembetulan pasaran jika penilaian saham tidak disokong oleh asas pendapatan sebenar.
- Malaysia menikmati limpahan positif dalam eksport E&E dan FDI, namun perlu bersedia menghadapi risiko pasaran serta memperkukuh peranan strategik dalam rantaian nilai teknologi global.
“Aliran modal ini bukan sahaja mengubah landskap pelaburan global, malah memberi kesan langsung kepada Asia yang menjadi tulang belakang rantaian bekalan elektronik dan semikonduktor dunia,” katanya.
Dalam tempoh setahun lalu, perbelanjaan modal syarikat teknologi meningkat antara 70 hingga 100 peratus, sekali gus melonjakkan permintaan terhadap tenaga, infrastruktur digital dan komponen elektronik, khususnya semikonduktor yang menjadi ‘otak’ utama teknologi AI.
Wall Street Bimbang, Asia Ambil Peluang
Di Wall Street, lonjakan harga saham teknologi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur, terutamanya mengenai sama ada kenaikan tersebut disokong oleh asas pendapatan sebenar atau sekadar euforia pasaran.
Indeks Nasdaq melonjak lebih 40 peratus dalam dua tahun terakhir, manakala laporan Gartner mengunjurkan pelaburan global dalam sektor AI bakal mencecah AS$1.5 trilion tahun ini.
Namun, purata pulangan bagi kebanyakan projek awal masih rendah, di bawah 10 peratus, menunjukkan keuntungan sebenar belum seiring dengan jumlah pelaburan.
“Pasaran kini sedang menilai semula realiti di sebalik euforia AI. Ia mungkin belum mencapai tahap gelembung penuh, tetapi tanda-tanda keterlaluan pelaburan sudah mula kelihatan,” jelas Sedek.
Walaupun asas kewangan syarikat teknologi hari ini jauh lebih kukuh berbanding era gelembung dot-com pada tahun 2000, sejarah menunjukkan bahawa pelaburan yang terlalu tertumpu pada satu tema boleh mencetuskan pembetulan pasaran secara mendadak.
Asia Timur Jadi Nadi Bekalan AI Dunia
Apabila saham teknologi AS merosot hujung Oktober lalu, kesannya segera dirasai di Asia, indeks utama di Korea, Taiwan dan Malaysia masing-masing susut antara 2 hingga 3 peratus, mencerminkan keterikatan pasaran serantau dengan ekosistem global.
Asia Timur kini menjadi pusat utama rantaian bekalan AI dunia:
- Taiwan dan Korea Selatan menguasai pengeluaran cip dan wafer berprestasi tinggi.
- Jepun membekalkan mesin dan peralatan ketepatan.
- Malaysia dan Vietnam memainkan peranan penting dalam pengeluaran komponen pertengahan dan perkhidmatan pemasangan
Eksport E&E Malaysia meningkat 15 peratus pada suku ketiga 2025, manakala aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke sektor teknologi berketepatan tinggi mencapai paras tertinggi dalam empat tahun.
“Permintaan global terhadap cip dan komponen elektronik kini menjadi pemacu utama eksport Asia.
"Gelombang ini membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi dan mengukuhkan kedudukan rantau ini dalam ekonomi digital,” kata Sedek.
Malaysia: Di Antara Manfaat dan Risiko
Sektor teknologi dan E&E kekal sebagai tunjang utama ekonomi Malaysia. Negara ini menikmati limpahan positif daripada permintaan global, namun turut terdedah kepada risiko pembetulan pasaran sekiranya pelabur menilai semula valuasi saham AI yang semakin tinggi.
Pada Oktober sahaja, aliran keluar bersih dana ekuiti serantau melebihi AS$1 bilion, menandakan peningkatan sikap berhati-hati pelabur terhadap sektor teknologi.
Sekiranya berlaku pembetulan besar di Wall Street, sektor eksport Malaysia boleh terkesan, khususnya melalui tekanan jualan dan penurunan kecairan pasaran jangka pendek.
Gelombang pelaburan AI bukan sekadar fenomena pasaran sementara, tetapi satu transformasi struktur yang sedang mengubah arah pertumbuhan ekonomi Asia.
Bagi Malaysia, cabarannya bukan hanya menumpang arus global, tetapi memperkukuh kedudukan sebagai pemain strategik dalam rantaian nilai teknologi dunia, daripada pengeluaran komponen kepada penyelidikan dan pembangunan inovasi masa depan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


