KUALA LUMPUR: Penggiat industri pelancongan perlu menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan kesihatan dan keselamatan pelancong domestik dan luar negara terjamin, termasuk ketika pelaksanaan Gelembung Pelancongan Antarabangsa (Inbound) bagi Projek Rintis Pulau Langkawi, yang bermula 15 November ini.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Uzaidi Udanis berkata, kebenaran membuka semula aktiviti pelancongan dalam negara ketika ini, memberi peluang untuk penggiat industri membuat persiapan sebelum menerima kedatangan pelancong antarabangsa.

Justeru, beliau yakin kebenaran untuk pelancong antarabangsa memasuki negara ini mampu memulihkan industri tersebut secepat mungkin.

"Kita tahu penggiat industri telah bersedia sejak 2019, iaitu kita telah bersedia untuk acara besar iaitu Tahun Melawat Malaysia.

"(Bagaimanapun), apabila COVID-19 ini berlaku, maka ia tertangguh (sementara).

"Sebenarnya, dalam masa dua tahun ini pelbagai perkara telah berlaku antaranya produk-produk yang kita telah cungkil, bakat-bakat dan tempat-tempat baharu untuk dilawati oleh pelancong.

"Dengan adanya pembukaan kepada pelancong domestik, kita telah belajar dan bersedia untuk menerima pelancong-pelancong antarabangsa," katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

BACA: Langkawi dibuka kepada pelancong antarabangsa 15 November - Perdana Menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam memaklumkan terdapat empat syarat yang perlu dipatuhi oleh pelancong antarabangsa iaitu melibatkan prosedur operasi standard (SOP) pra perlepasan, ketibaan dan penginapan; pra perlepasan pulang ke negara asal dan projek rintis.

Bagi syarat pra perlepasan, kata Perdana Menteri, kumpulan sasaran pelancong antarabangsa perlulah dalam kalangan pelancong berkualiti, individu yang divaksin lengkap, anak di bawah umur 18 tahun wajib hadir bersama-sama ibu bapa atau penjaga masing-masing divaksin lengkap dan dari senarai negara yang dibenarkan tertakluk kepada Jabatan Imigresen Malaysia/Kementerian Kesihatan (KKM) atau Kementerian Luar Negeri.

Mengulas lanjut, Uzaidi berkata, pelancong antarabangsa perlu memenuhi syarat dan segala SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelakkan kewujudan kluster baharu.

"Kita faham negara-negara seperti Eropah dan Amerika Syarikat agak bebas dalam penguatkuasaan SOP.

"Sebab itu apabila datang sini, kerajaan kata kita sasarkan pelancong berkualiti, iaitu pelancong yang bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang setempat di negara kita," ujarnya.

Dalam masa yang sama, Uzaidi menambah penggiat industri menyambut baik tempoh tiga bulan pelaksanaan projek rintis itu, sebelum mempertimbangkan untuk dilaksanakan di pulau-pulau peranginan serta kawasan pelancongan yang lain.