NATIONAL
Gelembung perjalanan: Kerajaan perlu buat persiapan awal - MATTA

Nigel berkata, kerajaan perlu membuat perancangan awal terutamanya bagi persiapan gelembung perjalanan yang melibatkan negara-negara jiran. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR:Kerajaan digesa untuk membuat persiapan awal termasuk mengadakan perbincangan dengan negara-negara jiran berhubung pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi membenarkan gelembung perjalanan atau travel bubble sebaik sahaja bermulanya program vaksinasi.
Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, selain membantu merancakkan semula industri pelancongan, ia dapat membantu syarikat-syarikat pelancongan mahupun pelancong untuk mendapat gambaran jelas mengenai SOP dilaksanakan sesebuah negara.
"Kerajaan perlu membuat perancangan awal terutamanya melibatkan negara-negara jiran seperti Indonesia.
"Ia sepatutnya dibincangkan sekarang kerana apabila program vaksinasi dijalankan mereka yang melancong sudah tahu akan SOP yang jelas," katanya ketika ditemubual Astro AWANI di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, dia turut menasihati mereka yang ingin melancong supaya mengambil skim pelindungan insurans bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak dingini berlaku.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Malaysia yang menerima suntikan vaksin COVID-19 dijangka mempunyai kelebihan untuk melancong dan mengembara ke luar negara pada masa hadapan.
Katanya, ini adalah kerana berkemungkinan terdapat negara luar yang akan menetapkan syarat hanya individu yang diberikan suntikan vaksin COVID-19 sahaja dibenarkan memasuki negara mereka.
Justeru, Muhyiddin menggalakkan rakyat negara ini untuk mengambil suntikan vaksin memandangkan ia diberikan secara percuma oleh kerajaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami