SAYA tidak dapat menahan daripada ingin menulis tentang selatan Thailand. Bukan sahaja kerana terdapat pelbagai insiden berlaku yang boleh diulas dan diolah, tetapi kerana ia ada begitu banyak perkaitannya dengan saya, sehingga saya tidak dapat menahan keinginannya untuk menulisnya lagi dan lagi.

Dan malam tadi, lima hari selepas peristiwa tembakan di Tak Bai, Thailand dan dapat didengar pula di Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan, Malaysia seorang teman bertanya: "Azlina, apa kau buat selepas insiden di Tak Bai ini, apa pandangan kau tentang arah damai di wilayah selatan?"

Saya tahu soalan Shukree itu soalan yang lurus dan ikhlas, bukan soalan untuk tujuan provokasi, memancing untuk memberi pendapat menyokong pihak itu dan membetulkan pandangan pihak ini. Namun, saya jawab ringkas: “Saya ada pendapat saya sendiri dan saya akan tulis mengenainya."

Saya juga tahu ada ramai kawan yang mahu tahu pendirian saya dalam insiden ini, tetapi mereka diamkan sahaja.

Nah, tulisan ini adalah susulan daripada beberapa peristiwa yang berlaku di selatan Thailand, yang ada kaitan dengan hala tuju keamanan di tiga wilayah yang bergolak - Narathiwat, Yala dan Pattani. Tak Bai berada dalam Narathiwat dan paling hampir dengan Kelantan, di Malaysia. 


Insiden keganasan yang bertali arus di tiga wilayah bergolak di selatan Thailand menjauhkan pelancong Malaysia masuk ke sana tetapi mengakibatkan ramai warga Thailand masuk ke Kelantan melalui Rantau Panjang. - Gambar Astro AWANI

Pendapat saya dalam kes Tak Bai ini, yang berlaku beberapa hari sebelum kenderaan asing dibenarkan masuk ke sempadan, seperti juga yang pernah saya terangkan kepada sahabat seperjuangan lain, bahawa, saya amat berpada untuk memberi sebarang komen kerana tidak mempunyai kepastian tentang apakah sebenarnya yang berlaku.

Berpada dalam memberi komentar itu saya sandarkan terhadap dua keadilan awal iaitu, pertama, akar sebenar kepada keganasan yang bertali arus berlaku di tiga wilayah bergolak barangkali tidak ditangani dengan baik. Ada yang mendakwa ia angkara pemisah, itulah yang dituding kepada peristiwa terbaharu di selatan Thailand. Dikatakan, tiga pegawai cedera ditembak, ada juga beberapa yang lain cedera ringan. Dikatakan juga, ada ramai yang sudah ditahan, lebih ramai disiasat berhubung insiden itu, didalangi puak tidak berpuas hati dengan beberapa isu, tanpa terkecuali soal perdamaian serta rundingan damai di mana Malaysia menjadi perantaranya.

Kedua, saya berpada dalam memberi komen kerana mahu menjaga hubungan, lebih tepat, untuk memberikan keadilan kepada siapa sebenar yang melakukannya, siapa yang dituduh melakukannya, siapa bertanggunjawab menegak keadilan itu - kesemuanya mungkin sahabat dan mungkin ada perkaitan langsung di antara satu sama lain di dua negara berjiran. Ini boleh dibaca - puak pemisah atau orang kampung, yang ada pertalian saudara dengan warga di Kelantan, atau tentera Thailand, yang cukup bekerja keras dalam keupayaannya cuba mengembalikan damai di wilayah Selatan.

Dalam hal ini, saya fikir semua orang mahukan yang terbaik untuk selatan Thai, ia berkongsi sejarah panjang dengan Malaysia, luka dan ria sejak sekian lama. Bahasa yang ditutur mereka di selatan Thailand mirip sekali dengan Malaysia, khususnya di Kelantan, lebih tepat Melayu Siam. Sakit Thailand, terasa juga oleh Malaysia. Ibaratnya, dicubit peha kiri, peha kanan terasa juga.

Banyak budaya dan cara hidup di selatan Thailand mirip penduduk di Malaysia, khususnya di Kelantan. - Gambar Astro AWANI

Untuk menghukum kepada pelaku didakwa puak pemisah, kita tidak mempunyai pilihan lain, selain mempercayai pihak berkuasa di negara itu, bahawa tindakan itu bermatlamat mencetuskan huru-hara. Apalagi ia berlaku menjelang rundingan damai yang akan disambung Jun ini, dengan koordinator ialah Malaysia sendiri.

Pada masa ini, hanya Barisan Revolusi Nasional (BRN), berpangkalan di Pattani, terlibat dengan rundingan damai dengan kerajaan Thailand, berpusat di Bangkok.

Beberapa kumpulan pemisah lain di selatan Thailand termasuk, Barisan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) diketuai Kasturi Mahkota dan Gerakan Mujahidin Islam Patani (GMIP). Baik PULO atau GMIP masing-masing tidak mengaku bertanggungjawab dengan insiden itu.

Namun terdapat juga kumpulan lebih kecil, seperti Ronda Kumpulan Kecil (RKK) yang ditubuhkan oleh penduduk kampung yang dikatakan kecewa ditindas kerajaan berpusat di Bangkok. Sebuah kumpulan lain yang tidak begitu popular dikenali sebagai Tai Ruam Pak Tai Khong Prathet Tai atau dikenali juga Gerakan Bawah Tanah Bersatu Selatan Thailand.

Walaupun gerakan pemisah di selatan Thailand ada pelbagai, komitmen damai pihak yang terbabit wajar jelas. Di sebalik kepelbagaian gerakan pemisah itu, sememangnya dalam apa jua konflik akan muncul tiga arus. Hal ini dijelaskan dengan baik dalam buku “Sosiologi Konflik dan Isu-Isu Konflik Kontemporer” tulisan Novri Susan (2010). Antara lain, arusnya ialah perdana yang sederhana; pelampau yang lantang dan lembut mengalah. Arus kedua dan ketiga adalah kecil tetapi tetap memainkan peranan besar. Arus perdana merupakan pihak yang mendapat sokongan rakyat yang sentiasa cintakan perdamaian. Tetapi mereka tidak  selantang  arus pelampau atau pemisah, dan tidak pula mengalah kepada prinsip hak mereka.

"Mereka yang membuat huru-hara itu barangkali mereka yang tidak dijemput untuk turut serta duduk semeja meneruskan rundingan damai. Kumpulan ini kecil tetapi mahukan peranan lebih besar diberikan kepada mereka," kata sumber saya, seorang pegawai wanita Muslim berpangkat tinggi di Narathiwat.

Apabila sumber saya itu menyebut mengenai rundingan damai, satu persatu pengakuan yang dikumpul sebelum ini semasa lawatan ke selatan Thailand diselak, helai demi helai kesimpulan disingkap hasil jejak ke tiga wilayah pada 2006; 2009; 2017 dan 2020.

Penganalisis dan pemerhati bingung akar sebenar keganasan tanpa henti di tiga wilayah di selatan Thailand, adakah ia isu pemisah, agama,pilih kasih kerajaan berpusat di Bangkok atau ada kaitan dengan kemiskinan. - Gambar Astro AWANI

Jangan dilupakan, insiden di Tak Bai adalah pencetus kepada putaran keganasan tanpa henti sehingga kini di selatan Thailand. Itu adalah fakta daripada Deep South Watch, di mana sejak rampasan di gudang senjata, ada sahaja nyawa melayang - orang kampung tidak bersalah, anggota pemisah menentang kerajaan, polis atau tentera, Imam juga Sami, kesemuanya membingungkan banyak pihak sama ada ia adalah kerana sentimen pemisah, agama atau keganasan.

Segarkan ingatan juga, peristiwa di mana penduduk mati lemas dalam bulan puasa selepas disusun seperti bata juga berlaku di Tak Bai, yang menghantar kecurigaan bukan kecil kepada tentera, dan ia belum terhapus sepenuhnya. Dalam hal ini, ada mendakwa, tentera tidak jujur sepenuhnya, yang putih dibilang kelabu, yang kelabu dikata hitam. Ini membesarkan rasa curiga penduduk kepada tentera.

"Soal peristiwa di Tak Bai misalnya, ia tidak berakhir dengan pembelaan seperti sepatutnya. Masih ada saudara mara mangsa yang membawa kes ke mahkamah, tetapi disisihkan tanpa belas, dipandang penuh curiga,'' dakwa seorang penduduk yang ada pertalian darah dengan saudara mangsa peristiwa Tak Bai, 24 Oktober 2004. Dia didakwa tiada pekerjaan, bahkan bukan dia sahaja, tetapi hampir seluruh keluarga secara dihukum secara halus tetapi terancang kerana "menentang" tentera.

Tetapi bukankah indeks keganasan sudah begitu banyak turun sejak pembangunan dan ekonomi rancak menukar ke perut rakyat di selatan? Benar sekali kenyataan itu, tetapi ada sebilangan daripada lebih sejuta penduduknya yang tidak faham dan sehingga kini masih belum dapat menangkap pesan kepentingan rantaian ekonomi dan keamanan.

Jadi, kenapa berlaku lagi keganasan di selatan Thailand? Tahun berganti, dekad baharu masuk kalendar, tetapi damai yang dicari belum ditemui, sebaliknya nyawa manusia penghuni tiga wilayah itu terus menambah angka. Diingatkan, kalau insiden Tak Bai pada 2022 itu beri kesan kepada rundingan damai, soal keamanan di selatan Thailand sememangnya perlu diselak satu persatu, walaupun kita yang memerhati, memandangnya dengan penuh tanda tanya keliru.  

Ini yang membingungkan. Kalau tiada kes tembak  di Narathiwat, ada cerita penyembelihan di Yala. Jika kedua-dua wilayah itu terhenti sementara daripada laporan keganasan, ada pula wayang pemberontakan di Pattani. Apatah lagi, konflik di selatan Thai sering dilihat secara simpati sebagai perjuangan gerakan pemisah yang mahu membebaskan tiga wilayah, lebih-lebih lagi Pattani, supaya memperoleh hak untuk hidup secara berdaulat dan bebas.

"Itulah, sukar dicapai adalah kerana tidak wujud ruang mendapatkan titik persefahaman bagi keamanan mutlak, " kata Pensyarah Pengajian Melayu, Fakulti Kemanusiaan, Universiti Prince Songkhla, Pattani, Dr Faisol Awang, merujuk kepada perkaitan insiden Tak Bai dan hala tuju rundingan damai melibatkan pemisah serta kerajaan Thailand.

Malah Faisol sendiri bersetuju bahawa ia seringkali tersangkut di tengah jalan disebabkan pihak yang bertanggungjawab dengan usaha damai saling tidak memahami akar sebenar permasalahan yang membawa kepada kegagalan itu.

"Terdapat situasi di mana, kedua-dua pihak yang sedang berbincang untuk damai tidak mengetahui apa mereka sedang usahakan. Akibatnya, damai yang dimahukan mungkin hanya tinggal angan-angan," ujarnya.

Faisol berkata, ia diburukkan pula dengan rasa curiga di antara satu sama lain, dan masing-masing menganggap terdapat agenda tersembunyi bakal dijayakan, baik di pihak kerajaan mahu pun peserta rundingan.

"Apabila rasa curiga dan mencurigai ini wujud, itu yang bahaya. Akhirnya rundingan damai yang diusahakan tidak akan ke mana-mana,'' tambah beliau.

Menurut Faisol, di sebalik damai yang dimahukan masih samar-samar walaupun sudah memasuki dekad baharu, majoriti penduduk minoriti Muslim di Yala, Narathiwat dan Pattani tetap berharap adanya sebarang prospek ke arah itu. Inilah yang cuba dijayakan sebaik mungkin oleh Malaysia.

"Kita perlu terus berharap, walaupun sudah letih menunggu. Ini kerana harapan itu yang membuatkan kita terus hidup,'' tegas beliau.

Peristiwa di Tak Bai itu adalah yang terbaharu dan menamatkan gencatan senjata semasa bulan Ramadan, tetapi dikatakan tidak akan menjejaskan rundingan damai.

"Datang dan masuk ke selatan Thailand ini, cari jawapan sebenar. Kini, orang Malaysia sudah boleh masuk, kami tunggu di sempadan,'' itu kata Abe Deen, mengundang saya lagi ke sana lagi, pasca Covid-19, apabila sempadan negara dibuka semula.

Dan, jujur sahaja, setiap kali sebelum menyeberang, sehingga 2020 - sudah empat kali - novel “The Murder Case of Tok Imam Storpa Karde” karya Siriworn Kaewkan tetap setia saya selak, baca dengan mata yang keliru.

Saya membaca novel mengenai pembunuhan Imam itu sekali lagi semalam,  dan selepas selesai membaca karya terjemahan Marcel Barang itu, berkali-kali saya katakan kepada hati, saya bukan mahu cari kebenaran, saya cuma mahu membuat laporan selain kumpul maklumat tentang terbaharu dari selatan Thai.

Kalau dilihat dalam konflik selatan Thailand pada hari ini, dapat diungkapkan bahawa ia pergolakan sebuah wilayah minoriti yang enggan ditenggelamkan identiti dan hak warisannya untuk tunduk menurut kekuasaan majoriti. Di satu pihak yang lain pula, ia boleh dilihat kekerasan yang dilakukan kerajaan dari wilayah majoriti untuk memaksakan mereka ke atas bangsa kalah perang.

Selatan Thai yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Melayu Pattani telah kalah dan ditundukkan kerajaan Siam yang berpusat di Bangkok.

Kalangan penduduk di tiga wilayah bergolak tidak sabar untuk menikmati damai hakiki kerana jika selatan Thailand damai, penduduk tanpa rasa takut melakukan aktiviti merancakkan ekonomi mereka demi kelangsungan hidup. - Gambar Astro AWANI

Inilah yang perlu difahami penduduk Muslim di Narathiwat, Yala dan Pattani. Dan, kalau penduduk sudah mula faham, apa yang diharapkan mereka cuma, selatan Thailand cepat-cepat aman, supaya mereka tidak akan melankolik lagi merindui kedamaian. Inilah yang sebenarnya pesan dihantar mereka kepada saya pada setiap lawatan ke tiga wilayah berkenaan, 2006 sehingga 2020. 

Harap mereka, pesan itu kemudiannya, segerakan kirim, jangan sampai rehat dahulu, kepada dunia. Sungguh, sebagai jiran, dari jendela perbatasan, apabila peristiwa Tak Bai berlaku lagi, pada 2022, saya sendiri jadi melankolik.

Tinggi harapan saya, rasa melankolik saudara kita di selatan Thai dikongsi bersama, atas nama kerinduan untuk damai dunia.

Saya harap, rindu mereka kepada damai tidak terganggu kerana insiden terbaharu di Tak Bai, pada 2022 ini.

Pada lapis lain, peristiwa Tak Bai pada 2022 itu didoakan jangan jadi seperti Tak Bai pada 2004, kerana jika itu berlaku, harapan untuk damai hakiki di selatan Thailand mungkin tersangkut lagi.



* Azlinariah Abdullah sedang mengerjakan naskhah ketiga, Senandika Selatan Thailand, Luka Sembuh Parut Masih Berdarah, penulis buku 'Pengembara Tanpa Pasport' dan Editor Astro AWANI.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.