SEPANG: Biarpun Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) gempa bumi di Turkiye telah pulang bermula hari ini, namun misi bantuan kemanusiaan lain di negara itu akan diteruskan dalam pelbagai bentuk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ketika ini Hospital Medan masih beroperasi dan tabung bencana juga masih dibuka untuk orang ramai memberikan sumbangan.

"Yang dibawa pulang ialah pasukan SAR sebab tugas mereka telah berakhir mengikut SOP antarabangsa. Fungsi mereka hanya dalam tempoh 14 hari tetapi bantuan kemanusiaan lain termasuk Hospital Medan diteruskan.

"Malah kalau Turkiye memerlukan bantuan lain, kerajaan Malaysia akan memberikan komitmen yang cukup tinggi," katanya ketika ditemui selepas menyambut ketibaan pasukan SMART di KLIA, pada Khamis.

Kumpulan pertama seramai 30 anggota selamat tiba di tanah air tengah hari tadi.

Gempa Bumi Turkiye | Pasukan Malaysia diiringi sorakan terima kasih sebelum pulang


Turut serta dalam delegasi itu ialah dua ekor anjing K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat, Denti dan Frankie, serta tiga wartawan yang membuat liputan di sana.

Seramai 35 lagi anggota SMART akan tiba petang ini, manakala bakinya dijangka pulang dalam minggu ini juga.

Dalam pada itu, Armizan berkata pihaknya juga menjangkakan aspek pengurusan bencana akan diberi perhatian dalam pembentangan Belanjawan 2023 esok, termasuk meneliti semula elaun tenaga kerja.

"Kita sentiasa berusaha untuk memberi pengiktirafan sewajarnya, dalam gagasan Malaysia Madani, malah dalam Bajet 2023 juga.

"Saya tidak mahu mendahului perdana menteri, tetapi saya fikir antara teras yang akan diberi perhatian ialah meningkatkan kecekapan aspek pengurusan bencana kesiapsiagaan nasional.

Ïni bukan sahaja berkaitan peruntukan untuk aset tapi juga sumber manusia," katanya lagi.