KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) tiba di Istanbul, Turkiye sekitar pukul 6  pagi waktu tempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ketika ini pasukan itu sedang mendapatkan maklumat daripada Pusat Pengurusan Bencana Turkiye untuk diatur gerak ke lokasi kejadian.

"Pasukan kita SMART disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah tiba pukul 6 pagi waktu tempatan dan pada waktu 9.50 pagi selepas selesai urusan di lapangan terbang mereka telah digerakkan ke salah satu lapangan terbang dekat dengan ground zero iaitu Lapangan Terbang Andana.

"Mereka digerakkan ke sana dan akan mendaftar kepada Pusat Pengurusan Bencana Kerajaan Turkiye untuk mereka dibahagikan ke sektor tertentu," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Selasa.

Tambah Armizan, pasukan bantuan bencana negara itu akan ditempatkan di kawasan berdekatan antara satu dengan lain.

Malah, Malaysia ujarnya, menjadi negara terawal menghantar bantuan pasukan mencari dan menyelamat ke Turkiye kurang 24 jam selepas gempa pertama berlaku.

"Saya telah berhubung dengan Komander SMART, Tuan Mohd Khairul Jamil selaku Chief De Mission kita, mereka maklumkan kini sedang mendapat taklimat daripada Pusat Pengurusan Bencana Kerajaan Turkiye untuk penempatan.

"Gempa bumi ini berlaku bukan sekali dan kawasan terkesan menjadi semakin luas dan atas sebab itu bahawa pasukan daripada pelbagai negara membantu akan ditempatkan.

"Kita dapat makluman 70 orang daripada SMART mewakili Malaysia akan ditempatkan di kawasan berdekatan diantara satu dengan lain.

"Syukur kita dapat maklum balas daripada kerajaan Turkiye daripada kedutaan kita di sana, bahawa Malaysia adalah negara pasukan terawal tiba walaupun jarak penerbangan mencecah 10 jam tapi kita dapat tiba dalam tempoh 24 jam dari insiden pertama," katanya lagi.