PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menjalankan siasatan penuh dan telus terhadap mana-mana pegawai atau anggotanya yang didapati melanggar peraturan atau undang-undang.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata langkah itu selari dengan prinsip yang ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tindakan hanya akan diambil selepas menjalani siasatan dan prosiding yang sah.
Advertisement
Beliau berkata setiap dakwaan salah laku akan disiasat sewajarnya tanpa campur tangan mana-mana pihak.
"Maritim Malaysia menyambut penegasan Perdana Menteri bahawa setiap aduan terhadap penjawat awam mesti disiasat mengikut undang-undang," katanya dalam satu kenyataan sebagai maklum balas terhadap ucapan Anwar pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Dalam Negeri, di sini ,hari ini.
Perdana Menteri dalam ucapannya menegaskan bahawa sebarang aduan terhadap mana-mana pegawai awam perlu disiasat dengan teliti mengikut lunas undang-undang, bukannya dibuat berasaskan persepsi atau dorongan politik.
Mohd Rosli berkata tindakan tersebut membuktikan Maritim Malaysia mengekalkan kepercayaan rakyat, selaras dengan prinsip profesionalisme dan akauntabiliti.
"Tanpa integriti, kepercayaan rakyat akan terhakis. Maritim Malaysia komited memastikan semua anggota melaksanakan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab," katanya.
Beliau berkata sepanjang tahun ini, Maritim Malaysia menyiasat 19 kes salah laku pegawai dan anggota yang melibatkan kes rasuah, tidak hadir bertugas penyalahgunaan dadah serta pelanggaran tatakelakuan perkhidmatan awam.
"Daripada jumlah ini, tiga pegawai telah dibuang kerja, tiga lagi ditangguh pergerakan gaji, sembilan dikenakan amaran, manakala empat pegawai lain dibebaskan selepas prosiding dan siasatan lengkap dijalankan," katanya.
-- BERNAMA