Gempa Lombok: Petugas Astro AWANI nyaris tertimbus runtuhan

Nursyazwani Saiful Sham
Julai 30, 2018 01:23 MYT
Penyunting video Astro AWANI iaitu Khairul Azli Hamzah tidak menjangka berdepan situasi cemas dalam misi pendakian di Gunung Berapi Rinjani bersama 17 warga Malaysia yang lain. - Instagram/@kerolacik
Sekumpulan rakyat Malaysia yang terkandas di Senggigi, Lombok Utara susulan gempa bumi kuat melanda Pulau Lombok awal pagi semalam, turut melibatkan seorang petugas Astro AWANI.
Penyunting video Khairul Azli Hamzah menyertai misi kembara pendakian ke Gunung Berapi Rinjani bersama 17 warga Malaysia yang lain, ketika bencana alam itu berlaku.
Lebih memilukan, salah seorang ahli kumpulan pendaki Malaysia berkenaan, Siti Nur Ismawida, 30, terkorban dalam kejadian itu.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 16 orang telah disahkan maut, dengan kebanyakan daripada mangsa merupakan warga tempatan.
BACA: Gempa Lombok: Allahyarham Siti Nur dihempap tembok runtuh - Rakan
BACA: Gempa Lombok: Rakyat Malaysia dinasihat tangguh percutian
“Ia merupakan pengalaman mencemaskan yang pertama kali saya alami.
“Saya turut rasa trauma sehinggakan apabila saya duduk diam pun saya dapat merasakan kegegaran itu. Kejadian itu terjadi dalam sekelip mata.
“Tidak dapat saya lupakan apabila ada rakan-rakan yang menjerit-jerit minta tolong dalam keadaan yang berdarah. Walaupun rumah tumpangan kami itu sudah runtuh, kami tetap masuk semula dan punggah batu-bata untuk selamatkan rakan-rakan kami,” jelasnya.
Tambah Khairul, buat masa ini dia dan rakan-rakan masih menunggu keputusan pihak kedutaan sama ada mereka akan diterbangkan balik ke tanah air hari ini.
Sementara itu, Khairul juga menjelaskan bahawa dia berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pesanan audio
Terdahulu, ketika menerima berita kejadian gempa bumi itu pada Ahad, Khairul cuba dihubungi Astro AWANI untuk bertanyakan tentang keadaannya di sana, namun gagal.
Akhirnya, usaha untuk mengetahui khabar Khairul berhasil apabila dia menghantar pesanan audio kepada salah seorang rakan di pejabat.
Namun begitu, pesanan itu disampaikan menerusi telefon bimbit milik seorang lagi rakan pendaki. Khairul menjelaskan, telefon bimbitnya tertimbus di dalam rumah tumpangan yang runtuh.
“Telefon saya ada di dalam rumah yang runtuh itu. Jika nak hubungi saya semula, boleh hubungi melalui talian rakan saya,” jelasnya yang sempat melarikan diri keluar dari bangunan sewaktu detik cemas itu.
Gempa bumi kuat dengan kekuatan 6.4 pada skala Richter itu menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok menyebabkan penduduk kawasan itu dilaporkan berlari bertempiaran meninggal kediaman dan bangunan.
Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG), gempa itu terjadi berpusat 28km Barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10km, hingga menyebabkan kerosakan bangunan dan struktur di kawasan yang terlibat iaitu Kapubaten Lombok Timur dan Kabupatan Lombok Utara.
#gempa bumi #gempa bumi Lombok #gunung berapi rinjani #Indonesia #Lombok #terkandas