Gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud pada Sabtu menyebabkan runtuhan salji yang meranapkan segala-galanya di laluan pendakian.

Menceritakan pengalamannya, Ketua Biro AFP Nepal, Ammu Kannampilly yang berada di pangkalan Everest ketika itu berkata dia sendiri tidak menyangka masih hidup selepas melihat kejadian yang menyayat hati itu di hadapan matanya.

Setakat ini, seramai 18 orang maut dalam tragedi yang berlaku setahun selepas kematian 16 pemandu Sherpa sekali gus menjadi bencana paling teruk dalam sejarah di Everest.


'Mesej dari gunung'

Pendaki, George Foulsham pula menyifatkan kejadian itu merupakan mesej daripada Everest yang bermaksud gunung itu tidak boleh didaki sekarang.

Seperti kebanyakan pendaki, Foulsham berada di pangkalan itu untuk kali kedua selepas cubaan kali pertamanya tahun lepas dibatalkan.

Foulsham, 38, seorang ahli biologi marin berkata ketika kejadian apa yang terlintas di fikirannya adalah mati.

Keadaan di pangkalan Everest selepas runtuhan salji - Foto AFP/Roberto Schmidt

"Saya berlari. Saya cuba untuk bangun dan runtuhan salji itu seperti menghempap saya lagi. Saya tidak boleh bernafas, saya fikir saya telah mati.

"Apabila saya akhirnya dapat berdiri, saya tidak percaya ia sudah berlalu dan hampir tidak dapat berbuat apa-apa," katanya.

Ketika dia dan rakan-rakan pendaki lain menanti bantuan udara, Foulsham mengakui bahawa impiannya mungkin tidak lagi akan menjadi kenyataan.

"Saya menyimpan hasrat selama bertahun bertahun-tahun untuk mendaki Everest, tetapi ia akhirnya memberi isyarat bahawa gunung itu tidak boleh didaki.

"Terlalu banyak kebetulan yang saya lihat dalam tempoh dua tahun."

Sementara itu, Ellen Gallant, seorang pendaki Amerika dan pakar kardiologi, menceritakan bagaimana dia telah cuba untuk membantu mereka yang cedera tetapi tidak dapat menyelamatkan seorang mangsa yang meninggal dunia di depan matanya.

"Dia meninggal dunia di depan saya.

"Saya berada di luar, melihat seolah-olah satu letupan awan besar yang turun," katanya kepada AFP.

"Saya berlari ke dalam khemah itu, dan berbaring di atas lantai. Apabila gegaran berhenti, saya keluar dan mendapat pesanan untuk merawat seorang pendaki India yang mengalami kecederaan di kepala.

"Kami bekerja sepanjang malam untuk memberi rawatan, daripada sembilan pesakit, seorang daripadanya meninggal dunia malam tadi kerana tekanan darah, tiada apa yang boleh dilakukan untuk membantunya," katanya.



Gambar menunjukkan kepulan awan daripada salji semasa kejadian gempa bumi yang memusnahkan kem pendaki di pergunungan Himalaya. -Foto AFP/Roberto Schmidt

"Sekitar 6.00 pagi, kami mendengar bunyi helikopter dan kami tahu ia akan mengeluarkan kami dari hutan. Lapan daripada mangsa berjaya dikeluarkan.

"Apabila belajar ilmu perubatan, kita belajar untuk memberi tumpuan kepada tugasan. Tetapi sekarang semuanya sudah selesai.

"Pemuda berusia 25 tahun itu tidak patut meninggal dunia," ujarnya.



Pendaki yang tercedera diusung untuk dibawa ke helikopter penyelamat di pangkalan kem Everest. -Foto AFP/Roberto Schmidt

'Khemah terbang'

Dalam pada itu, Kanchaman Tamang, seorang tukang masak Nepal yang bekerja untuk kumpulan pelancongan Jagged Globe berkata, tragedi itu amat menyedihkan susulan bencana yang berlaku pada tahun lepas.

"Saya berada di khemah makan apabila runtuhan salji melanda, saya melihat semua khemah terbang," kata Kanchaman yang berusia 40 tahun kepada AFP.

"Selepas runtuhan tahun lalu, saya tidak pernah bimbang tentang kembali bekerja. Saya beritahu keluarga, saya selamat bekerja di kem pusat ini dan tidak seperti kejadian sebelumnya.

"Namun saya silap, laluan itu telah musnah. Saya rasa tidak akan kembali lagi tahun depan. Gunung ini memberi makna yang amat memeritkan," katanya.