KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi elaun khas kepada semua petugas yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bencana gempa bumi di Turkiye.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu di Dewan Rakyat berkata, insentif tersebut sebagai menghargai penat lelah dan pengorbanan anggota SAR daripada pelbagai agensi.

Jelas beliau, elaun khas berkenaan akan diberikan berdasarkan tempoh penglibatan mereka dalam operasi berkenaan dan jumlah pemberian akan dibincangkan dengan Jabatan Perbendaharaan Negara.

Selain itu, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerajaan akan turut memberikan Surat Penghargaan dan Pingat Khidmat kepada anggota yang terlibat.

"Macam mana kita tambah makna kepada penghargaan ialah kita akan beri Surat Penghargaan dan saya usul Pingat Khidmat khusus kepada mereka yang bertugas dan saya mencadangkan kita mengatur elaun khas kepada setiap yang menyertai operasi SAR itu.

"Elaun khas ini berdasarkan hari bertugas dan ada yang telah mencecah dua minggu (bertugas)," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Perdana Menteri berkata, beliau sangat terharu dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua anggota SAR dari Malaysia yang terlibat dalam misi berkenaan.

"Ada yang nampak letih dan lesu dan mereka masuk ke dalam dareah yang belum biasa dan belum pernah pasukan kita bekerja di musim sejuk.

"Itu amat terasa (menyentuh hati)... dengan mereka pergi tanpa persiapan pakaian yang lengkap," ujar Anwar lagi. 

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau turut meluluskan permintaan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan agar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menyambung operasi pencarian, berbanding tempoh dua minggu yang ditetapkan sebelum ini.

Beliau menambah, Erdogan turut menyampaikan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan 222 Ahli Parlimen kerana menzahirkan ucapan takziah kepada mangsa-mangsa gempa bumi di negara itu.

Perdana Menteri pada Selasa malam berlepas ke Turkiye bagi menyatakan sokongan moral kepada Erdogan dan rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lepas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.