KUALA LUMPUR: Polis menahan 229 penagih dadah di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Lembah Klang yang dipercayai menjadi sarang penagihan dadah menerusi Ops Tapis Khas, minggu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, operasi bersepadu dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan dari 21 Jun hingga 23 Jun itu menyasarkan beberapa kawasan perumahan termasuk  PPR Desa Tun Razak, PPR Pantai Dalam, PPR Desa Rejang, PPR Sungai Bonus, PPR Intan Baiduri, Flat Seri Terengganu, Chow Kit serta Putrajaya.

"Daripada jumlah tersebut, 11 penagih dadah diambil tindakan mengikut  Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) sementara 21 individu lagi yang merupakan pesalah berulang diambil tindakan di bawah Seksyen 39 C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Seramai 10 individu lagi adalah orang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Lanjutan daripada Ops Tapis Khas, Azmi memberitahu, polis turut melancarkan Op Igor dan berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang didalangi lelaki tempatan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

"Polis menahan tiga individu berusia 24 hingga 31 tahun dan merampas ganja seberat 17.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM43,200.

"Nilai keseluruhan sitaan dan rampasan termasuk kenderaan serta barang kemas adalah RM162,750," katanya.

Ujarnya, kesemua suspek direman antara satu dan lima hari bermula kelmarin sehingga 28 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan itu boleh menampung penggunaan sehingga 34,000 penagih.