KEPALA BATAS: "Saya masih ingat ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menyeru penduduk Kampung Guar Kepah dan penduduk kampung terdekat semasa pembukaan Jambatan Merdeka agar tidak perlu lagi bimbang dengan penjajah kerana kita telah mencapai kemerdekaan," luah Salleh Din, 90, generasi pertama yang menyaksikan pembukaan Jambatan Merdeka, pada tahun 1957 di sini.
Ucapan penuh bersemangat Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman ketika itu memberi makna cukup besar khususnya penduduk kampung yang pernah merasai kekejaman penjajah terutamanya semasa zaman pendudukan Jepun pada tahun 1941.
Tambahan pula, jambatan yang terletak di Sungai Muda itu adalah bukti pelbagai peristiwa ‘hitam’ ketika negara di bawah penjajahan Jepun dan British sehinggalah negara bebas dan mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
"Apabila Tunku Abdul Rahman berjaya mendapat kemerdekaan daripada orang putih (British) pada 1957, selepas itu beliau datang ke sini dan suruh rakyat berhimpun dekat titi yang sudah siap (dibina dengan konkrit).
“Beliau memberitahu, semua askar Jepun ka, komunis ka, sudah keluar dan tak duduk di hutan dah… kita sudah merdeka. Lepas itu, Tunku Abdul Rahman angkat tangan, sebut merdeka, merdeka," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di sini, baru-baru ini.
Berkongsi lebih lanjut mengenai Jambatan Merdeka, Salleh yang lebih mesra dengan panggilan Pak Andak Leh berkata sebelum dibina jambatan konkrit, ia hanyalah sebuah titi bersimen yang dibina oleh British sekitar tahun 1938 tetapi telah diletupkan sendiri tentera British pada tahun 1941 bagi menghalang kemaraan tentera Jepun ke Seberang Perai selepas berjaya memasuki Kedah.
Menurut bapa kepada tujuh anak ini, sebelum British meletupkan titi tersebut, mereka mengarahkan penduduk kampung berpindah tujuh kilometer dari kawasan jambatan bagi menjaga keselamatan penduduk.
“Tentera British juga meminta penduduk kampung membina kubu pertahanan atau ban dengan menggunakan batang pokok kelapa bagi menangkis serangan Jepun.
“Selain itu, terdapat juga kubu pertahanan British yang dibina (kira-kira 20 meter) dari pinggir Sungai Muda yang sampai sekarang (keadaan kubu) elok lagi," katanya yang turut menyaksikan sendiri peristiwa pengeboman jambatan tersebut sehingga menjadi kegemparan dahsyat buat penduduk kampung.
Salleh yang menghidap strok sejak setahun lalu dan tinggal bersama isterinya, Eshah Yaacob, 64, turut berharap peristiwa perit zaman penjajah tidak berulang dan rakyat perlu mengambil pengajaran dengan menjaga kebebasan dan keamanan negara.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Sejarah Malaysia dan Indonesia, Dr Mohamad Muzammil Mohamad Noor berkata asal usul Jambatan Merdeka ketika itu hanyalah sebuah titi bersimen tidak bernama yang digunakan penduduk setempat bagi menyeberangi Sungai Muda sama ada menuju ke pekan sekitar Kepala Batas, Pulau Pinang mahupun pekan berhampiran Sungai Petani, Kedah.
"Setelah jambatan tersebut melalui pelbagai evolusi, Tunku Abdul Rahman menamakan jambatan itu sebagai Jambatan Merdeka sempena peristiwa genting yang dilalui penduduk di situ ketika pendudukan British dan Jepun selain untuk mengingati jasa penduduk sekitar yang terlibat dalam pembinaan jambatan tersebut," katanya.
Hubung kait kewujudan Jambatan Merdeka dengan penduduk sekitar adalah dari segi pembangunan sosioekonomi yang cukup pesat ketika itu berikutan terdapatnya aktiviti perniagaan tradisional berdekatan Sungai Muda di samping terdapat ladang lada hitam bersebelahan Seberang Perai.
Berdekatan jambatan tersebut jelasnya, terdapat sebuah kampung dikenali sebagai Kampung Dusun Lada yang kini dikenali sebagai Kampung Jambatan Merdeka di mana terdapat ladang lada hitam yang diusahakan pihak British untuk membawa hasil tanaman tersebut ke Eropah.
"Selain itu, aktiviti ekonomi penduduk di situ juga melibatkan perniagaan tradisional seperti pasar pagi, pasar petang serta aktiviti perahu tambang dalam usaha mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup ketika itu memandangkan kebanyakan penempatan penduduk di sekitar jambatan adalah berhampiran dengan Sungai Muda," katanya.
Mohamad Muzammil berkata Jambatan Merdeka perlu dijadikan ikon sejarah agar generasi akan datang dapat mempelajari serta menghayati keunikan sejarah jambatan itu secara lebih mendalam.
Selain itu, khazanah yang tidak ternilai ini juga perlu didokumentasikan supaya terus malar termasuk mengiktiraf Kampung Jambatan Merdeka atau kampung berhampirannya sebagai kampung warisan agar nilai sejarahnya terpelihara sampai bila-bila, katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Sep 01 2021
Jambatan yang terletak di Sungai Muda ini bukti pelbagai peristiwa hitam ketika negara di bawah penjajahan Jepun dan British sehingga negara bebas dan mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. - BERNAMA
Wanita suara garau cemas bilik hotel diserbu JAIS
Seorang wanita yang memiliki suara garau berdepan detik cemas apabila hotel bajet yang dihuni diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Fokus Minggu Depan: Masa depan Harimau Malaya dan saingan Kejohanan ASEAN
Ikuti kupasan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Mohd Sadek Mustaffa berkenaan masa depan Harimau Malaya dibawah kendalian jurulatih baharu dan berdepan dengan saingan Kejohanan ASEAN.
Banjir: Johor, Pahang beransur pulih, Perak kekal
Situasi banjir di Johor dan Pahang semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri tersebut terus mencatatkan penurunan.
Farm Fresh hulur bantuan pasca banjir di Pantai Timur dan Utara
Farm Fresh Berhad, syarikat pengeluar tenusu tempatan terkemuka melancarkan misi bantuan pasca banjir bermula enam disember lalu untuk membantu mangsa banjir yang terjejas teruk di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
KKDW akan laksana PKD Mobile mini di Sabah, Sarawak - Rubiah
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan melaksanakan program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile mini di kawasan jauh jangkauan khususnya di Sabah dan Sarawak.
Johor peruntuk RM16.8 juta bantu 280,000 keluarga miskin dan B40
Johor memperuntukkan sebanyak RM16.8 juta bagi Program Bantuan Kasih Johor hasil daripada pendapatan yang mencecah RM2 bilion tahun ini.
KHM bimbang 26 konsert di Stadium Hoki Nasional ganggu latihan skuad negara
KHM melahirkan kebimbangan dengan rancangan untuk menganjurkan 26 konsert di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada tahun hadapan, yang dilihat boleh mendatangkan kesan kepada persiapan skuad negara.
Polis rakam keterangan ibu bapa, dua doktor
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata setakat ini seramai empat orang dirakam percakapan iaitu ibu bapa bayi dan dua orang doktor.
SAPP tarik diri daripada Perikatan Nasional
Yong berkata PN dilihat jelas ingin bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang dan ia bertentangan dengan dasar SAPP yang menyatakan bahawa semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sepatutnya hanya ditandingi parti tempatan.
Sekurang-kurangnya tiga maut, 39 cedera dalam serangan bom di utara Thailand
Pihak berkuasa Thailand masih menyiasat kes itu dan masih belum mengesahkan jumlah sebenar mangsa.
Generasi pertama, kongsi peristiwa bersejarah Jambatan Merdeka
Ucapan penuh bersemangat Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman ketika itu memberi makna cukup besar khususnya penduduk kampung yang pernah merasai kekejaman penjajah.
Orang Kedah jangan ada hati rentas negeri untuk berbuka, bersahur di kampung halaman
Kawalan di tiga laluan utama keluar masuk Kedah iaitu iaitu Plaza Tol Sungai Petani Selatan dan Utara serta Jambatan Merdeka ditingkatkan.