Kumpulan pecah rumah, Geng Beruang yang dikatakan bergiat aktif di sekitar Lahad Datu, berjaya ditumpaskan oleh pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia.

Kumpulan itu yang dianggotai oleh enam anggota tempatan, dipercayai diketuai oleh seorang remaja berusia 18 tahun.

Bertindak diatas maklumat, sepasukan polis dari cawangan jenayah IPD Lahad Datu telah menahan kesemua suspek di Taman Pertama Satu, Jalan Silam Lahad Datu.

Polis juga berjaya menemui semula pelbagai barangan pecah rumah yang merupakan barang-barang berjenama termasuk kad kredit dan debit beberapa buah bank.

Kesemua uspek yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 30 tahun, turut didapati positif dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hamzah Ahmad berkata, dengan tumpasnya Geng Beruang ini, polis percaya telah menyelesaikan banyak kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah ini.

"Geng ini telah berjaya ditumpaskan oleh kita punya bahagian siasatan jenayah IPD Lahad Datu dengan tertangkapnya beberapa orang geng ini. Tangkapan ini telah berjaya menyelesaikan banyak kes-kes pecah rumah dilaporkan sebelum ini," katanya hari ini.

Kesemua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan sekiranya sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun.

Beliau juga memberitahu pihaknya juga sedang giat memburu pembeli barangan curi daripada Geng Beruang dan akan mendakwa mereka yang terlibat di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan. Justeru beliau menasihatkan agar ibu bapa khususnya memantau kegiatan anak-anak mereka.