Skip to main content

Malaysia

Gerakan komuniti SBX ditubuh, perluas aktiviti kebajikan - Mohammad Sollehin

Karnival Kita PALMA 2026 di Kampung Paya Baru, Kamunting, yang berjaya menghimpunkan lebih 5,000 penduduk di kawasan Parlimen Bukit Gantang - Foto UMNO Bahagian Bukit Gantang
Karnival Kita PALMA 2026 di Kampung Paya Baru, Kamunting, yang berjaya menghimpunkan lebih 5,000 penduduk di kawasan Parlimen Bukit Gantang - Foto UMNO Bahagian Bukit Gantang

Advertisement

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM200,000 daripada wang peribadi bagi penganjuran Karnival Kita PALMA 2026 menjadi titik permulaan kepada usaha lebih besar memperkukuh jaringan komuniti menerusi penubuhan gerakan komuniti SBX yang bakal diperluas ke seluruh Taiping.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata gerakan itu diwujudkan bagi memastikan aktiviti kemasyarakatan tidak terhenti, sebaliknya dilaksanakan sepanjang tahun merangkumi kebajikan, bantuan bencana, pendidikan, sukan, pembangunan belia dan aktiviti komuniti.

Beliau berkata penubuhan SBX diumumkan ketika Karnival Kita PALMA 2026 di Kampung Paya Baru, Kamunting, yang berjaya menghimpunkan lebih 5,000 penduduk di kawasan Parlimen Bukit Gantang.

"RM200,000 itu ialah pelaburan sosial. Wang boleh dicari, tetapi nilai kemanusiaan, kepercayaan dan semangat kebersamaan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina.

"Saya mungkin tidak mampu mengubah seluruh dunia, tetapi saya mahu bermula dengan kampung saya sendiri. Kita bermula di PALMA dan berkembang ke seluruh Taiping," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Mohammad Sollehin, pelancaran rasmi SBX dijadualkan pada Disember 2026, dengan antara fokus utama ialah memperkukuh penglibatan masyarakat dalam menangani isu setempat melalui kerjasama dengan pihak berkuasa.

Jelasnya, penubuhan gerakan itu turut mengambil kira isu premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian dalam talian di sekitar Bukit Gantang dan Taiping, yang dibangkitkannya bulan lepas.

"Ketua Polis Perak kemudian memaklumkan bahawa daripada 15 pemeriksaan di Bukit Gantang, hanya tiga premis didapati negatif manakala selebihnya telah diambil tindakan, seperti dilaporkan media. Penduduk pula meminta pemantauan diteruskan," ujarnya.

Mengulas penganjuran Karnival Kita PALMA 2026, Mohammad Sollehin berkata program selama tiga hari bermula Jumaat itu merupakan julung kali diadakan di Kampung Paya Baru dan terbuka kepada semua penduduk tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata karnival itu akan dijadikan acara tahunan bagi memperkukuh semangat kejiranan, kekeluargaan dan kebersamaan dalam kalangan penduduk.

"Hari ini, lebih 2,500 peserta menyertai acara larian santai selepas sesi senamrobik, selain pertandingan mewarna, hiasan gubahan, masakan dan sukan, jamuan komuniti serta penyampaian hadiah bagi pencapaian sukan dan akademik.

"Kita terlalu sibuk membina bandar yang maju, tetapi jangan sampai terlupa membina masyarakat yang hidup di dalamnya," katanya lagi.

Mohammad Sollehin berkata turut menegaskan kepentingan memberi ruang kepada golongan muda untuk memimpin dan memainkan peranan secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan, bukan sekadar menjadi peserta program.

Mengenai kemungkinan bertanding pada pilihan raya akan dating pula, beliau berkata perkara itu tertakluk kepada keputusan pimpinan parti, namun komitmennya terhadap masyarakat akan diteruskan tanpa bergantung kepada kedudukan politik.


 

Must Watch Video

Advertisement