KUALA LUMPUR: Sebanyak RM30,000 berjaya dikumpul menerusi inisiatif Projek Khas Geran Adiguru bagi membantu murid dan pelajar dalam kumpulan B40 di seluruh negara.

Pengarah Urusan Untuk Malaysia, Zul Fikri Zamir, berkata, antara bantuan yang mendapat permintaan tertinggi  dalam kalangan guru ialah aplikasi komputer riba dan telefon pintar.

Permohonan bekalan alat peranti itu  diterima susulan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang sedang dilaksanakan, ketika ini.

"Setakat ini kita dah ada lebih 30 permohonan daripada guru di seluruh Malaysia yang memohon dana ni. kebanyakan memohon membeli tab dan smartphone untuk anak-anak murid mereka di waktu PdPR," katanya kepada Astro AWANI.   

Selain alat peranti, turut disalurkan ialah bantuan makanan dan kewangan bagi meringankan beban para pelajar untuk menyediakan kelengkapan pembelajaran.

"Kita ada link, guru boleh just tekan link sahaja, namun ada beberapa application kita terpaksa buat, kita nak verify yang betul-betul memohon tersebut adalah para guru jadi dia kena nyatakan dia mengajar dimana dan sekolah dimana.

"Dan sesudah itu kita akan berikan borang kedua iaitu borang maklumat murid, supaya kita dapat tentukan bahawa apa yang mendapat manfaat tersebut adalah murid dan juga keluarga tersebut" tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berharap para guru tidak melepaskan peluang ini dalam sama-sama meringankan beban pelajar yang terkesan  akibat pandemik COVID-19.