Skip to main content

Malaysia

Geran khas interim Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion - PM Anwar

KOTA KINABALU,30 Mei -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan 2026 di Hongkod Koisaan, Penampang, hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan 2026 di Hongkod Koisaan, Penampang, hari ini. - Foto Bernama

PENAMPANG: Geran khas interim bagi Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu dimuktamadkan seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata jumlah berkenaan hanya bersifat interim kerana perbincangan mengenai jumlah sebenar pemberian berdasarkan tuntutan 40 peratus hasil negeri masih perlu dimuktamadkan melalui rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Soal 40 peratus (hasil Sabah) walaupun dikatakan keadaan kewangan 112D (mekanisme semakan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan), bagi saya tutup. Jangan orang pertikai keputusan kita untuk melaksanakan janji ini.

“Sama (ada) yang dibuat bulan Jun atau Disember, itu harus diputuskan dua-dua jawatankuasa dan kemudian dibawa kepada kerajaan negeri di peringkat tertinggi dan perundingan antara Persekutuan dan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 serta Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata komitmen berkaitan pembayaran hasil 40 peratus itu telah dibawa ke Jemaah Menteri dan diumumkan secara rasmi di Parlimen, namun cabaran ketika ini lebih tertumpu kepada kaedah pelaksanaannya.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri mengamanahkan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican untuk memperincikan rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah.  

Beliau berkata rundingan itu perlu dilaksanakan secara teliti memandangkan setiap keputusan melibatkan MA63 memberi implikasi secara langsung kepada Sabah, Sarawak serta negeri-negeri lain di Semenanjung.

"Keputusan (ini) terkait dengan perjanjian 1963 (MA63). Jadi tiap keputusan kita, jumlahnya itu harus dicerakin dengan terperinci dan ia mengambil masa sedikit, tetapi tidak akan menolak bahawa dana harus diberikan," katanya.

Menepis tanggapan segelintir pihak mendakwa Sabah terus diabaikan, Anwar berkata hasil kutipan kerajaan Persekutuan daripada Sabah adalah sekitar RM10 bilion setahun, namun dana peruntukan perbelanjaan pembangunan yang disalurkan semula mencecah angka lebih besar iaitu RM17 bilion.

Perdana Menteri berkata kerajaan Persekutuan turut menjangkakan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) untuk Sabah meningkat kepada RM3 billion tahun ini berbanding RM1 billion tahun lepas, berikutan krisis bekalan global yang sedang berlaku.

Beliau berkata pendedahan angka berkenaan bukan bertujuan menafikan hak 40 peratus hasil negeri itu, sebaliknya bagi memberi gambaran sebenar kepada rakyat agar tidak terpengaruh dengan sentimen politik yang tidak bertanggungjawab.

"Walaupun berdepan peningkatan kos yang melambung, Kerajaan MADANI kekal komited mempertahankan harga bahan api, khususnya petrol RON95 pada paras yang terendah di dunia demi menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat.

"Jangan nafikan (usaha kerajaan Persekutuan) seolah-olah kita dianiaya, dianaktirikan, disengsarakan. Ini politik picisan. Tidak akan membawa semangat perpaduan kita. Itu politik satu penipuan fakta. Hanya untuk mencari dukungan suku-suku kaum itu. Tidak berdasarkan fakta,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement