KUALA LUMPUR: Perdana Menteri hari ini mengumumkan geran khas interim bagi Sarawak dinaikkan kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sebelum ini berkuat kuasa tahun ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu diambil selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sementara rundingan berkaitan formula baharu pemberian khas diteruskan.
"Sebelum ini saya sudah umum untuk Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.
"Saya katakan kepada Premier (Sarawak) Abang Jo, kerana kedudukan Sarawak itu kuat...," kata Anwar berseloroh mengenai kedudukan kewangan Sarawak yang disifatkan kukuh dan tidak memerlukan kenaikan seumpama.
Anwar kemudian menambah, langkah menaikkan jumlah itu tetap diteruskan hasil persahabatan dan rundingan yang baik.
"Atas semangat setiakawan, persahabatan dan semangat Malaysia, malam ini saya umum untuk Sarawak RM1.5 bilion juga, itu adalah hasil persahabatan dan rundingan yang baik,” kata beliau semasa berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching, hari ini.
Minggu lalu, persetujuan menaikkan segera pemberian khas kepada Sabah kepada RM1.5 bilion diumumkan Anwar usai mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kota Kinabalu yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Perdana Menteri pada ketika itu memberi bayangan Sarawak turut akan dipertimbangkan untuk menerima langkah interim yang sama , meskipun kedudukannya berbeza dari segi peruntukan Perlembagaan.
Menurut Anwar, Sarawak turut mengemukakan pandangan mengenai formula pemberian yang mengambil kira kedudukan kewangan dan keupayaan kerajaan Persekutuan, selain menetapkan kadar minimum serta maksimum.
Beliau bersetuju supaya Kementerian Kewangan bersama Kementerian Kewangan Sarawak membincangkan cadangan memperkenalkan formula berkenaan.
Isu pemberian khas kepada Sarawak dan Sabah merupakan antara perkara yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan pemberian khas kepada kedua-dua wilayah berkenaan.