GISB: CEO, anak pengasas Al-Arqam, 11 pemimpin syarikat sah bebas - Peguam

Nasiruddin (baju putih), anak pengasas Al-Arqam serta 11 pemimpin sah dibebaskan selepas menjalani hukuman 13 bulan 20 hari di Penjara Sungai Buloh. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB Holdings Sdn Bhd) Nasiruddin Mohd Ali bersama anak bekas pengasas Al-Arqam dan 11 pemimpin tertinggi syarikat tersebut disahkan dibebaskan hari ini selepas menjalani hukuman penjara selama 13 bulan 20 hari di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Perkara itu disahkan peguam bela, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili kesemua tertuduh ketika dihubungi Astro AWANI, pada Jumaat.
Menurutnya, fokus pihak pembelaan selepas ini adalah untuk menguruskan kes di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) yang turut dikaitkan dengan GISB.
“Selepas ini kami akan urus kes AMLA pula. InsyaAllah, AMLA pun boleh diurus dengan baik.
“Pengurusan kes AMLA akan bermula minggu depan pada 11 November di Mahkamah Sesyen Shah Alam,” katanya.
Turut hadir bersama pasukan pembelaan semasa urusan pembebasan itu ialah peguam Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin.
Pada Jumaat sebelum ini, Nasiruddin dan 12 tertuduh lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 bulan selepas didapati bersalah menjadi ahli kumpulan menyalahi undang-undang sekitar lima tahun lalu.
Sementara itu, isteri Nasiruddin bersama lapan tertuduh wanita lain turut dikenakan denda sebanyak RM4,500 setiap seorang atas pertuduhan sama.
Mereka diperintahkan menjalani hukuman penjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Kes berkenaan menarik perhatian umum kerana ia mempunyai kaitan dengan kesinambungan gerakan Al-Arqam yang pernah diharamkan kerajaan pada 1994 atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


