MALAYSIA
Global Sumud Flotilla: Anwar gesa Rubio, pemimpin dunia campur tangan pastikan pembebasan peserta

PM Anwar gesa Setiausaha Negara AS Marco Rubio, pemimpin dunia lain campur tangan pastikan Israel bebaskan peserta Global Sumud Flotilla. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Susulan penahanan 12 rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) oleh rejim Zionis Israel pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi beberapa pemimpin dunia untuk mendapatkan bantuan dengan segera.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghubungi pemimpin dunia termasuk Setiausaha Negara AS, Presiden Turkiye, PM Qatar dan Presiden Mesir bagi mendesak pembebasan segera 12 rakyat Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai misi GSF.
- Wisma Putra mengecam tindakan Israel sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa dan menuntut pembebasan tanpa syarat semua aktivis serta kelancaran penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
- Malaysia menggesa Majlis Keselamatan PBB dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera, sementara 12 rakyat Malaysia termasuk Heliza Helmi, Zizi Kirana dan beberapa aktivis lain disahkan ditahan.
“Apa yang didakwa kesalahan mereka (peserta GSF) adalah kerana keprihatinan, atas prinsip kemanusiaan untuk membantu mereka (rakyat Gaza) yang lemah, yang kelaparan, yang sakit, termasuk di kalangan wanita dan anak-anak .
“Kalau itu tidak dapat dilakukan, di mana yang nilai kemanusiaan kita? Ia jadi tidak berharga sama sekali.
“Jadi sekali lagi saya mendoakan kepada Allah, kezaliman oleh rejim Israel ini dihentikan, dan rakan-rakan kita dibebaskan dan saluran bantuan kemanusiaan kepada rakan rakan kita di Gaza dapat disampaikan dalam keadaan segera,” katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan, Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua aktivis, petugas kemanusiaan dan kru yang berada di atas GSF, termasuk rakyat Malaysia serta kapal-kapal mereka.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar turut menuntut penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat dilakukan dengan selamat dan tanpa halangan.
Kementerian Luar berkata Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan jenayah dan kekerasan yang bersifat pengecut oleh pihak Israel terhadap misi aman berkenaan.
"Tindakan tanpa provokasi dan sembarangan ini merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang maritim antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
"Pada saat rakyat Palestin sedang berhadapan dengan genosid, kebuluran, krisis kesihatan yang meruncing dan penderitaan berpanjangan, misi ini bukan sahaja sah di sisi undang-undang antarabangsa malah merupakan kewajipan moral yang mesti dihormati dan dipertahankan oleh masyarakat antarabangsa," tambah Wisma Putra.
Setakat ini 12 rakyat Malaysia dilaporkan telah ditahan oleh tentera Israel dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), antaranya selebriti dan aktivis kemanusiaan Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah yang berada di atas kapal Hio; Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad (Grande Blu); serta penyanyi Zizi Kirana (Huga).
Turut ditahan ialah Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (Alma); serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (Sirius).
Malaysia turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera dan konkrit untuk menghentikan tindakan Israel yang bebas daripada sebarang hukuman.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami