MALAYSIA
Global Sumud Flotilla: Delegasi Malaysia dijadual pulang ke tanah air Isnin ini

Delegasi Malaysia itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 8.40 malam ini waktu Malaysia, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.40 petang menggunakan pesawat komersial Turkish Airlines. - fotoBERNAMA
SEPANG: Kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dan kini berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Israel, dijadualkan berlepas pulang ke tanah air pada Isnin ini, kata Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Sani Araby Al-Kahery.
Beliau berkata kesemua delegasi Malaysia itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 8.40 malam ini waktu Malaysia, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.40 petang menggunakan pesawat komersial Turkish Airlines yang diurus dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye.
Beliau berkata ketibaan semua rakyat Malaysia disambut oleh wakil Kedutaan Malaysia di Turkiye, pegawai Wisma Putra serta wakil kerajaan Turkiye, sebelum ditempatkan di hotel di sekitar Istanbul atas jemputan dan tajaan kerajaan negara itu bagi memberikan ruang kepada delegasi berehat sebelum penerbangan pulang.
"Sumud Nusantara menzahirkan jutaan terima kasih dan terharu mewakili seluruh keluarga, delegasi, sekretariat serta rakyat Malaysia yang menjadi pendukung misi ini, atas kepedulian dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan Malaysia, yang berusaha bersungguh-sungguh menggunakan hubungan erat diplomatik antarabangsa untuk rundingan bagi proses mengeluarkan 23 rakyat Malaysia."SNCC turut menzahirkan penghargaan kepada keseluruhan jemaah menteri, khususnya Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang banyak memainkan peranan," katanya pada sidang media di sini malam ini.
Selain itu, Sany Araby berkata empat rakyat Malaysia yang berada di atas kapal pemerhati, Jong serta beberapa individu lain yang ditempatkan di Cyprus dan Jordan berada dalam keadaan baik dan dijangka bergabung dengan delegasi Malaysia di Istanbul sebelum pulang bersama-sama ke tanah air.
Beliau berkata kejayaan membawa keluar semua rakyat Malaysia dari Israel ialah hasil rundingan diplomatik kerajaan Malaysia dengan kerjasama kerajaan Turkiye, Jordan dan Amerika Syarikat.
Beliau turut mengesahkan 137 daripada 462 peserta misi GSF dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia, Jordan dan Malaysia yang ditahan telah berjaya dibebaskan dengan bantuan kerajaan Turkiye.
"Sumud Nusantara mengajak semua pendukung untuk terus mendoakan agar kesemua baki delegasi GSF yang masih dalam tahanan dibebaskan segera," katanya.
Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami