MALAYSIA
Global Sumud Flotilla: PM akan hubungi rakan sejawat desak bebaskan sukarelawan - SNCC

Sani Araby berkata, Perdana Menteri akan menghubungi beberapa rakan sejawat, termasuk Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Presiden Mesir Abdel Fattah Al-Sisi serta kepimpinan Arab Saudi. - Gambar fail/Bernama
SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi komitmen untuk menggunakan saluran diplomatik tertinggi bagi mendesak pembebasan segera 12 sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim komited menggunakan saluran diplomatik tertinggi untuk mendesak pembebasan segera 12 sukarelawan Malaysia yang ditahan Israel, termasuk menghubungi pemimpin Turkiye, Mesir dan Arab Saudi.
- Malaysia juga akan berunding dengan negara besar seperti UK dan Sepanyol bagi memberi tekanan antarabangsa, manakala maklumat terkini mengesahkan sukarelawan berada dalam keadaan baik walaupun flotila kini diiring keluar oleh kapal tentera Israel.
- Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara untuk menghantar bantuan ke Gaza, mengulangi sejarah flotila kemanusiaan yang pernah dipintas Israel seperti insiden Mavi Marmara pada 2010.
Malaysia juga dijangka berunding dengan negara-negara besar lain seperti United Kingdom dan Sepanyol bagi mendapatkan tekanan antarabangsa supaya semua delegasi dibebaskan tanpa syarat.
“Tindakan Israel memintas flotila kemanusiaan itu adalah bacul dan tidak wajar kerana rombongan tersebut jelas mematuhi undang-undang antarabangsa serta membawa bantuan kemanusiaan semata-mata.
"Dari semasa ke semasa kita akan maklumkan perkembangan, dan PM telah menegaskan komitmen beliau sebagai penaung utama misi ini untuk memastikan semua dapat dibawa pulang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau menambah, Perdana Menteri turut menyatakan hasrat untuk memberi perhatian secara langsung terhadap usaha pembebasan itu, sambil menegaskan misi kemanusiaan ini tidak pernah bergerak sendiri kerana turut mendapat dukungan penuh jentera kerajaan.
Maklumat terkini daripada sukarelawan Malaysia di atas kapal mengesahkan keadaan mereka masih baik, walaupun tentera Israel dilapor menggunakan meriam air bertekanan tinggi untuk menakutkan peserta konvoi.
Flotila yang membawa delegasi dari 45 negara kini dipercayai sedang diiring keluar oleh kapal tentera Israel ke destinasi yang belum diketahui, namun tiada laporan kecederaan setakat ini.
Misi Global Sumud Flotilla berlepas dari pelabuhan Eropah sejak Ogos lalu dengan tujuan menghantar bantuan makanan, perubatan dan keperluan asas kepada rakyat Gaza yang berdepan sekatan berpanjangan.
Konvoi ini disertai lebih 500 aktivis antarabangsa termasuk doktor, peguam, ahli politik dan sukarelawan daripada pelbagai organisasi masyarakat sivil dari Asia, Eropah, Afrika serta Asia Barat.
Ini bukan kali pertama flotila kemanusiaan ke Gaza dipintas. Pada tahun 2010, serangan ke atas kapal Mavi Marmara yang turut membawa aktivis antarabangsa mengakibatkan sembilan terkorban, sekali gus mencetuskan kecaman global terhadap Israel.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami