MALAYSIA
Global Sumud Flotilla: Stesen TV, radio diminta siar doa Qunut Nazilah - Fahmi

Fahmi (foto) mengarahkan semua stesen TV dan radio menyiarkan bacaan Qunut Nazilah dalam slot utama sebagai solidariti terhadap sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meminta semua stesen televisyen dan radio di seluruh negara menyiarkan bacaan doa Qunut Nazilah dalam slot-slot siaran utama sebagai tanda solidariti dan memohon doa demi keselamatan sukarelawan Malaysia dan seluruh pasukan Global Sumud Flotilla (GSF).
Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengarahkan semua stesen TV dan radio menyiarkan bacaan Qunut Nazilah dalam slot utama sebagai solidariti terhadap sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF).
- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut diarahkan mempertingkat pemantauan kandungan berkaitan konflik Israel-Palestin dan mengambil tindakan terhadap sebarang propaganda atau hasutan.
- Rakyat Malaysia diseru merujuk maklumat rasmi daripada Kementerian Luar dan Sumud Nusantara Command Centre bagi mengelak penyebaran berita palsu, susulan penahanan sekurang-kurangnya 12 rakyat Malaysia oleh Israel.
Pada masa sama, Fahmi turut mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempertingkat pemantauan terhadap segala kandungan berkaitan konflik itu di ruang siber Malaysia.
"Tindakan tegas dan segera akan dilaksanakan terhadap sebarang cubaan untuk menyebarkan propaganda Zionis atau naratif yang bersifat hasutan, serta menjejaskan keharmonian dan sensitiviti awam," kata beliau.
Fahmi turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk merujuk maklumat yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar dan sumber rasmi termasuk saluran rasmi Sumud Nusantara Command Centre yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bagi mengelak penyebaran berita palsu atau tidak sahih.
Setakat 7.50 pagi tadi, dilaporkan sekurang-kurangnya 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu telah ditahan secara tidak sah oleh Israel ketika pelayaran pasukan GSF memasuki zon merah di perairan Gaza.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami