GMC diaktifkan semula perkukuhkan pengurusan tuntutan perubatan

Pada mesyuarat 10 Nov, GMC setuju meningkatkan komunikasi dalam kalangan ahli dan bekerjasama membangunkan protokol tuntutan yang telus bagi pengurusan tuntutan yang layak dibayar di bawah produk insurans dan takaful perubatan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pihak industri penjagaan kesihatan serta insurans/takaful mengaktifkan semula Jawatankuasa Mekanisme Aduan Kesihatan (GMC) dengan sokongan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Ringkasan AI
- Industri penjagaan kesihatan dan insurans/takaful mengaktifkan semula Jawatankuasa Mekanisme Aduan Kesihatan (GMC) dengan sokongan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menangani cabaran sistemik berkaitan tuntutan perubatan.
- GMC, yang dianggotai oleh lima organisasi utama termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), berperanan sebagai badan perunding untuk menyediakan saluran perundingan terstruktur bagi menyelesaikan isu bersama industri serta memupuk kepercayaan antara profesional perubatan dan industri insurans.
- Pada mesyuarat terkini, GMC bersetuju untuk meningkatkan komunikasi di kalangan ahli, membangunkan protokol tuntutan yang telus, dan bekerjasama dalam meminimumkan kelewatan serta pertikaian dalam proses tuntutan perubatan.
GMC, yang mengadakan mesyuarat pertamanya pada 10 Nov, 2025 dianggotai lima organisasi utama iaitu Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Insurans Am Malaysia, dan Persatuan Takaful Malaysia.
Menurut kenyataan itu, jawatankuasa berkenaan berperanan dalam menyediakan saluran perundingan yang tersusun bagi membincangkan, menasihati dan mengemukakan cadangan penyelesaian terhadap isu-isu bersama industri, di samping memupuk kepercayaan dan persefahaman antara profesional perubatan dan pihak industri insurans.
Ia juga bertindak sebagai badan perunding untuk mengenal pasti cabaran sistemik, menyelenggara pangkalan data aduan, serta mengesyorkan penyelesaian untuk dilaksanakan oleh ahlinya.
Sementara itu, pada mesyuarat 10 Nov itu, GMC bersetuju meningkatkan komunikasi dalam kalangan semua ahli dan bekerjasama membangunkan protokol tuntutan yang telus bagi pengurusan tuntutan yang layak dibayar di bawah produk insurans dan takaful perubatan.
"Protokol tuntutan ini akan dibangunkan bersama pakar perubatan dan penyedia perlindungan bagi memberikan panduan yang lebih jelas kepada pengamal perubatan, penginsurans, pengendali takaful (ITO) dan hospital mengenai kos rawatan yang boleh dituntut. Usaha ini juga bertujuan mengurangkan kelewatan dalam proses tuntutan serta meminimumkan pertikaian," kata kenyataan itu.
Ia berkata GMC akan terus bersidang secara berkala bagi memajukan pembangunan protokol tuntutan, menangani cabaran tuntutan yang berulang serta mengekalkan dialog berterusan antara semua pihak.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O'Dell berkata platform berkenaan memberi tumpuan kepada perlindungan para pemegang polisi, meningkatkan kejelasan tuntutan mereka dan memastikan akses kepada perlindungan perubatan yang adil, cekap dan tepat pada masanya.
"Dengan kerjasama rapat antara doktor, hospital dan pengawal selia, kita dapat memperkukuh kepercayaan antara industri dan komuniti perubatan, sambil menjaga kepentingan pemegang polisi dan peserta takaful," katanya.
Presiden MMA Datuk Dr R. Thirunavukarasu pula berkata kerjasama merentas industri ini penting bagi memastikan kebajikan pesakit kekal sebagai keutamaan, selain meningkatkan persefahaman dan kepercayaan dalam ekosistem penjagaan kesihatan.
Bagi Presiden APHM Datuk Dr Kuljit Singh, jawatankuasa itu menyediakan platform penting untuk hospital swasta dan penginsurans berganding bahu dengan semangat kerjasama dan ketelusan.
"Dengan penyelarasan amalan serta penyelesaian isu secara kolektif, kita dapat meningkatkan kecekapan, mengukuhkan kepercayaan dan akhirnya memberikan hasil yang lebih baik kepada pesakit," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


