Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berharap untuk menjalin hubungan rapat dengan rakan sejawatannya dari Singapura, S. Iswaran dalam usaha memanfaatkan perkembangan yang berlaku dalam sektor media.

"Kami berharap lebih banyak perbincangan dan komunikasi akan menyusul antara kami berdua supaya kami memahami bagaimana kami dapat memanfaatkan industri media yang telah berkembang sejak bertahun-tahun," kata beliau.

Beliau menegaskan bahawa dalam jangka panjang, Malaysia dan Singapura akan memperoleh banyak manfaat dengan saling mempelajari dan bekerjasama antara satu sama lain.

Gobind Singh memberitahu demikian kepada pemberita di luar acara Muzika Ekstravaganza ke-12 antara RTM-Mediacorp di Angkasapuri di sini malam tadi yang dihadiri oleh beliau dan Menteri Komunikasi dan Penerangan Singapura itu.

Rancangan itu yang menampilkan barisan artis Malaysia dan Singapura disiarkan secara langsung menerusi TV2 RTM dan saluran Suria Mediacorp.

"Saya sangat gembira kami dapat menjayakan program ini, saya fikir kita perlu berusaha untuk memastikan ia diteruskan pada tahun-tahun akan datang," kata beliau.

Beliau menarik perhatian bahawa persembahan kebudayaan dan kesenian seperti Muzika Eksktravaganza membolehkan kedua-dua negara berkongsi dan menikmati persamaan selain mengukuhkan hubungan dua hala.

Sementara itu, Iswaran, berkata bahawa acara itu merupakan contoh baik mengenai hubungan erat yang terus terjalin antara kedua-dua agensi penyiaran itu serta antara Malaysia dan Singapura pada umumnya.

Beliau berkata dari perspektif Singapura, program itu memberi peluang kepada artis dari kedua-dua negara untuk bekerjasama dan mewujudkan kandungan program yang baharu lagi inovatif selain memberi peluang kepada penonton untuk menikmati aspek budaya yang kedua-dua negara saling miliki bersama.

-- BERNAMA