KUALA LUMPUR: Gangguan kepada ekonomi domestik akan menyebabkan kesihatan kanak-kanak keluarga B40 terjejas jika konflik Asia Barat berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutif Arba Foundation, Azlan Shah Nabees Khan berkata situasi itu akan berlaku memandangkan ibu bapa terpaksa mengurangkan perbelanjaan makanan demi kelangsungan hidup.
Advertisement
"Berdasarkan enam tahun data yang kami kumpulkan dan analisa, kita dapat lihat perkara pertama yang akan dikurangkan ialah makanan. Ini akan menyebabkan kadar kebantutan semakin meningkat.
“Selepas makanan dicatu, mereka akan kurangkan perbelanjaan berkaitan pendidikan; sekolah, kelas tambahan dan hal-hal lain berkaitan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.
Azlan Shah berkata konflik yang memberi kesan kepada ekonomi domestik itu juga berkemungkinan menyebabkan kos perumahan dan barangan asas meningkat.
Dalam pada itu, Presiden Kebangsaan Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia), Dr. Chin Chee Seong berpandangan, kerajaan perlu mengawasi persekitaran persaingan perniagaan dalam negara ketika keadaan konflik berlarutan,
Menurutnya, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu diberikan kelebihan untuk bersaing bersama syarikat asing dengan modal yang lebih besar demi kelangsungan perniagaan.
“Kita harap kerajaan wujudkan persaingan yang saksama antara syarikat asing dan tempatan, memandangkan kita bayar cukai. Syarikat asing mungkin bawa keuntungan ke negara asal. Maksudnya, kita tidak ada ruang persaingan yang adil.
“Kerajaan perlu bantu untuk kuatkuasakan pemantauan bagi sektor perkhidmatan. Contohnya, mereka bawa pasukan luar negara untuk buat naik taraf, produksi dan perkhidmatan-perkhidmatan lain. Itu akan menjejaskan persaingan kepada PMKS tempatan,” ujarnya.
Konflik di Asia Barat yang dicetuskan oleh serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran telah memasuki tahap baharu apabila laluan perkapalan di Selat Hormuz ditutup oleh Iran.
Tindakan tersebut telah menyebabkan gangguan bekalan minyak global yang melonjakkan harga komoditi itu, seterusnya menjejaskan rantaian bekalan dunia.
Dialog Poket Rakyat: Mengemudi di tengah rebut ekonomi global