KUALA LUMPUR: Akses kepada pendidikan astronomi dan sains angkasa akan diperluaskan kepada lebih banyak kumpulan Orang Kurang Upaya (OKU) dan golongan rentan menerusi pengembangan Modul Astronomi Khas di bawah Program Space InSight-X 2026.
Pengarah Planetarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor berkata, peluasan itu merangkumi OKU pembelajaran dan pendengaran menerusi elemen bunyi digital serta bantuan juru bahasa isyarat dan golongan rentan, termasuk masyarakat Orang Asli, komuniti pedalaman, golongan B40, warga emas dan pelarian.
Beliau berkata, modul berbahasa Inggeris turut dirancang untuk dikongsikan dengan komuniti OKU di peringkat antarabangsa menerusi Working Group on Inclusive Outreach di bawah Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU).
“Program Space InSight pada tahun ini, kami tambah 'X' di belakangnya, iaitu expansion (pengembangan). Jadi, kami bukan hanya untuk OKU penglihatan malah modul ini boleh digunakan untuk menarik minat pelbagai golongan ke arah penerokaan bidang astronomi dan sains angkasa,” katanya kepada Bernama.
Mohd Zamri Shah berkata demikian selepas menghadiri program Astronomi Inklusif, satu program yang terangkum di bawah inisiatif Program Space InSight-X 2026 di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, murid yang mengalami masalah penglihatan di negara ini mampu “meneroka” angkasa selepas pelancaran Modul Astronomi Khas bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Ketidakupayaan Penglihatan pada Julai tahun lepas.
Mohd Zamri Shah berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Planetarium Negara juga merancang mentransformasikan bahan bantu mengajar bidang astronomi dan sains angkasa ke platform digital serta aplikasi telefon pintar bagi membolehkan akses secara maya dengan lebih meluas dan pantas.
Beliau berkata, video penggunaan modul berkenaan dalam bahasa isyarat telah dirakam dan bakal dimuat naik ke portal DELIMa serta DELIMa Flix milik Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tujuan itu.
Terdahulu, sebanyak 200 peserta menyertai program itu melibatkan pelbagai pengisian, termasuk sesi Space-Fit, Fun-Walk dan Sembang Hentian, selain menyaksikan acara serahan Modul Astronomi MBPK Ketidakupayaan Penglihatan kepada Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak.
-- BERNAMA