RAMADAN merupakan bulan yang penuh dengan rahmat dan pengampunan. Sepanjang bulan mulia ini, umat Islam digalakkan berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga serta menjauhi daripada segala maksiat dan perbuatan sia-sia demi mencapai ketakwaan.
Demikianlah peluang keemasan ini datang hanya sekali setahun dengan membawa janji pengampunan dosa dan pahala berlipat kali ganda bagi setiap amal kebaikan.
Advertisement
Namun, menjelang penghujung Ramadan timbul persoalan; adakah kita termasuk dalam golongan yang beruntung atau golongan yang rugi selepas melalui bulan ini?
Ada yang menganggap Ramadan sebagai “pesta makanan” sehingga tumpuan diberi pada juadah mewah berbanding ibadah. Fenomena ini menunjukkan sebahagian umat Islam tersasar daripada tujuan sebenar Ramadan, iaitu apabila malam Ramadan lebih sibuk dengan aktiviti duniawi berbanding munajat kepada Ilahi.
Sebaliknya, Islam mengingatkan agar tidak berlebih-lebihan dalam hal makanan dan pembaziran sebagaimana firman Allah SWT:“...dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf: 31)
Sekiranya Ramadan hanya dilalui sebagai rutin tahunan tanpa penghayatan yang sebenar, maka dibimbangi seseorang tergolong dalam golongan yang rugi apabila bulan tersebut berlalu tanpa meninggalkan bekalan rohani atau pembaikan diri. Maka antara beberapa ciri golongan yang rugi pada bulan Ramadan yang wajar dielak, termasuklah:
Ramadan berlalu tanpa keampunan
Nabi Muhammad SAW pernah menyampaikan peringatan yang sangat keras terhadap mereka yang tidak memperoleh keampunan Allah SWT meskipun telah melalui bulan Ramadan. Dalam sebuah hadis, Jibril AS berdoa: “Celakalah seorang hamba yang mendapati bulan Ramadan lalu kemudian dia tidak diampunkan.” Lalu Rasulullah SAW mengaminkan doa tersebut dengan bersabda: “Amin.” (HR. Ahmad, no. 7443 )
Hadis ini menggambarkan betapa besar kemurahan Allah SWT yang membuka pintu keampunan seluas-luasnya sepanjang Ramadan. Justeru, seseorang yang tetap tidak diampunkan selepas berlalunya bulan mulia ini berada dalam kerugian dan kecelakaan kerana dia telah mensia-siakan peluang terbaik untuk kembali kepada Allah melalui taubat, istighfar dan amal ibadah.
Puasa sekadar lapar dahaga
Golongan kedua yang rugi adalah mereka yang berpuasa hanya pada zahirnya, sebaliknya tidak menjaga akhlak dan tutur kata. Rasulullah SAW bersabda: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. (HR. Ibnu Majah, no. 1690)
Demikianlah hadis ini menegaskan bahawa puasa tanpa keikhlasan dan kawalan diri hanya akan menjadi sia-sia. Antara puncanya adalah tidak meninggalkan perkataan dusta, umpatan dan perbuatan maksiat. Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. (HR. al-Bukhari, no. 1770, 5597)
Jelaslah, jika sepanjang hari berpuasa lidah dan anggota masih melakukan dosa, maka tiada ganjaran diperoleh melainkan rasa lapar dahaga semata-mata.
Tiada perubahan selepas Ramadan
Matlamat utama Ramadan adalah untuk membentuk peribadi bertakwa yang berkekalan. Golongan yang rugi adalah mereka yang selepas berakhirnya Ramadan, tiada sebarang perubahan positif dalam diri. Segala amalan baik seperti solat berjemaah, tadarus al-Quran, Qaimullail dan bersedekah terhenti serta-merta dengan berlalunya bulan mulia ini.
Mereka kembali tenggelam dalam kelalaian dan kemungkaran seolah-olah Ramadan tidak membawa apa-apa kesan. Sedangkan Allah SWT telah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat).” (Surah al-Hasyr: 18).
Ayat ini menyeru umat Islam agar bermuhasabah diri dan mempersiapkan bekalan amal bagi menghadapi hari kemudian. Jika Ramadan yang sepatutnya menjadi medan latihan rohani tidak mampu meningkatkan iman dan takwa seseorang, maka dia telah melepaskan peluang keemasan tersebut dan benar-benar berada dalam kerugian.
Sebagai kesimpulannya, setiap orang beriman perlu berazam agar tidak tergolong dalam golongan yang rugi di bulan Ramadan. Masih belum terlambat untuk diinsafi kekurangan diri dan memperbanyakkan taubat serta amal soleh di sisa Ramadan yang ada.
Selepas Ramadan sekali pun, teruskanlah amalan yang baik walaupun sedikit kerana Allah SWT lebih menyukai amalan yang berterusan sebagaimana sabda Nabi SAW: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Taala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” (HR. al-Bukhari, no. 6465). Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang memperoleh rahmat dan keampunan dan dijauhkan daripada menjadi golongan yang rugi setelah berlalunya Ramadan.