NATIONAL
Gombak Culture Group ungguli World Cup of Folklore 2025 di Itali

Gombak Culture Group menang enam kategori dalam World Cup of Folklore Jesolo 2025 di Itali, termasuk empat juara dan dua naib juara. -Bernama
JESOLO: Kontinjen Gombak Culture Group mencipta sejarah manis di pentas antarabangsa apabila menyapu bersih enam kategori pertandingan dalam World Cup of Folklore Jesolo, Italy 2025, membuktikan keunggulan budaya Malaysia di mata dunia.
Ringkasan AI
- Kontinjen Gombak Culture Group memenangi enam kategori dalam World Cup of Folklore Jesolo 2025 di Itali, termasuk empat juara dan dua naib juara, mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
- Persembahan yang menonjol termasuk Sewang@Kuda Kepang, Silat Tari Inai, Dikir Barat, dan Balqis (Nyanyian & Tarian Samrah), melibatkan murid dan guru dari 17 sekolah sekitar Gombak.
- Persiapan rapi sejak Februari 2025 dan kerjasama pelbagai pihak menjadi kunci kejayaan, dengan kontinjen turut disertai oleh Sekolah Seni Sarawak dan peserta dari beberapa negara lain.
Kategori yang memenangi tempat pertama ialah:
• Kategori C (Kanak-kanak & Remaja): Sewang@Kuda Kepang
• Kategori D (Dewasa): Silat Tari Inai
• Kategori E (Kanak-kanak & Remaja): Dikir Barat
• Kategori F (Campuran Remaja & Dewasa): Balqis (Nyanyian & Tarian Samrah)
Manakala gelaran naib juara diraih menerusi:
• Kategori C (Dewasa): Tarian Magunatip
• Kategori D (Kanak-kanak & Remaja): Malaysian Art Dance (gabungan Cina, Zapin, dan Inang Kontemporari)
Seramai 30 murid dan 10 guru menjadi peserta utama kontinjen ini, dengan sokongan lapan pegawai dan guru pengiring, dua koreografer, serta empat petugas pengurusan tatarias dan kostum.
Antara sekolah yang terlibat termasuk SMK Taman Melawati, SMK Seri Gombak, SMK Darul Ehsan, SK Taman Permata, SK Dato Maharajalela (Kuala Selangor) dan beberapa lagi institusi pendidikan rendah dan menengah di Gombak.
Ketua kontinjen, Dr Abdul Aziz Ismail, yang juga Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Gombak, menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti hasil usaha gigih semua pihak.
“Usaha yang bersungguh-sungguh ini telah membuahkan hasil berkat kerjasama semua pihak.
"Terima kasih kepada semua yang terlibat dan memberikan sokongan sehingga kejayaan ini berjaya dikecapi,” katanya.
Persiapan rapi bermula sejak Februari 2025 dengan sesi uji bakat, diikuti latihan berkala sepanjang Ramadan dan latihan intensif sepenuh masa dari 15 hingga 19 Mei.
Kontinjen berlepas ke Itali pada 22 Mei 2025.
Malaysia turut diwakili oleh Sekolah Seni Sarawak bersama peserta dari Estonia, Slovakia, Macedonia, Indonesia, dan Georgia dalam kejohanan ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami