Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menolak dakwaan bahawa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan tidak mengiktiraf graduan Diploma Vokasional Malaysia.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini berkata graduan kolej vokasional (KV) boleh melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda melalui dua kaedah.

Pertama adalah menggunakan sijil Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) yang merupakan proses pengakreditan pengalaman terdahulu daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), katanya.

Kaedah kedua, katanya, graduan KV boleh memohon jika mempunyai kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) yang telah disetarakan oleh Lembaga Peperiksaan kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Melalui kaedah itu graduan KV disyaratkan mempunyai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Akademik 3.33, PNGK Vokasional 3.67, Kepujian Bahasa Melayu (1104) dan kompeten dalam semua Modul Vokasional serta mendapat kelulusan khas daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sehingga akreditasi penuh program diploma diperoleh, kata KPM.

"Graduan KV telah menerima pengiktirafan daripada industri dan sebanyak 83.1 peratus telah mendapat pekerjaan mengikut bidang dalam tempoh tiga bulan selepas graduasi," katanya.

KPM berkata Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) yang dilaksanakan pada 2013 bertujuan mengarus perdanakan pendidikan vokasional setanding dengan aliran pendidikan perdana.

"Transformasi ini mencorak landskap baharu kepada sistem pendidikan negara yang berteraskan pencapaian kompetensi kemahiran dan akademik," katanya.

Matlamat TPV melahirkan tenaga kerja separuh mahir dan mahir dengan sasaran 70 peratus ke pasaran kerja, 20 peratus melanjutkan pelajaran dan 10 peratus menjadi usahawan, kata KPM.

Sebelum ini, MQA turut menjelaskan pelajar lepasan KV yang memiliki Diploma Vokasional Malaysia boleh memohon untuk kemasukan ke IPT seluruh negara menerusi laluan teknikal dan vokasional.
-- BERNAMA