KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak yang sengaja menghina dan mempertikaikan kedudukan institusi kesultanan serta Raja-Raja Melayu wajar dikenakan tindakan tegas termasuk dilucutkan taraf kewarganegaraan.
Perkara itu ditegaskan oleh bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, yang menyifatkan
tindakan individu yang berselindung di sebalik kebebasan bersuara untuk menghina institusi Raja-Raja Melayu sebagai perbuatan jahat.
Katanya lagi, perbuatan berkenaan juga menghina seluruh bangsa Melayu yang berpayung di bawah kedaulatan Raja-Raja dan Sultan Melayu.
"Kerana itu, saya bertegas bahawa pihak berkuasa perlu bertindak ke atas mereka yang secara jelas telah mengkhianati prinsip perlembagaan dan institusi istana," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Syed Ali turut melahirkan kebimbangan sekiranya perlakuan sedemikian dibiarkan berterusan tanpa tindakan tegas kerana dikhuatiri boleh menjejaskan keamanan serta kestabilan negara.
Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan UMNO Bahagian Cheras yang membuat laporan polis berhubung dakwaan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi aplikasi media sosial.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abdul Shukor dalam kenyataan berasingan berkata laporan polis dibuat selepas pihaknya menemui satu video dimuat naik oleh akaun media sosial menggunakan nama “Sultan Ibrahim Ismail @jjbnxxnobgr”.
Menurutnya, video berkenaan memaparkan imej dan kelibat Yang di-Pertuan Agong yang didakwa telah diubah suai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Tujuan laporan polis dibuat kerana video pengubahan AI dan gambar-gambar di penama akaun tersebut jelas merupakan satu penghinaan yang amat berat, berniat jahat dan cuba menjatuhkan kedaulatan serta maruah institusi beraja di negara ini,” katanya.
Turut hadir membuat laporan polis ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Cheras Mohd Zamri Mahamud; Bendahari UMNO Bahagian Cheras Mohd Ismail Mohd Nor; Ketua Penerangan UMNO Bahagian Cheras Fauziah Mohd Amin; serta barisan jawatankuasa dan ketua cawangan bahagian berkenaan.
Selain itu, UMNO Bahagian Cheras menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan terhadap pihak terlibat.
"Tangkap dan heret dalang utama ke muka pengadilan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998!
"Hukuman paling berat dan setimpal wajib dijatuhkan sebagai pengajaran keras agar tiada lagi mana-mana pihak yang berani bermain api dengan keharmonian kaum dan kedaulatan negara," kata mereka.