MALAYSIA
GRIP pelaburan jangka panjang bina masyarakat bersatu padu - Aaron

Aaron berkata, GRIP turut disusun secara sistematik melalui tiga kluster utama iaitu kenegaraan, budaya dan adat resam serta nilai-nilai murni. - Gambar fail/KPN
KUANTAN: Program Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP) merupakan pelaburan jangka panjang untuk membina sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu, inklusif dan bertanggungjawab.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, program berkenaan berteraskan modul silang budaya yang mengutamakan pengalaman pembelajaran secara langsung selain interaktif dengan penekanan terhadap nilai kenegaraan, adat dan warisan budaya serta nilai sivik dan moral.
Beliau berkata, GRIP melibatkan penyertaan pelajar sekolah menengah dari seluruh negara dan merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Kementerian Pendidikan.
"Sekolah merupakan tapak asas pembentukan nilai dalam diri setiap warganegara. Ia bukan sekadar tempat untuk menerima ilmu tetapi ruang perpaduan dibentuk dan dihidupkan melalui interaksi harian yang bersifat tulen."Di sinilah ideologi Rukun Negara diterjemahkan dalam bentuk amalan hormat-menghormati, bekerjasama serta saling memahami. Sekolah juga menjadi tempat anak-anak belajar untuk hidup bersama secara harmoni, menerima kepelbagaian dan membina empati terhadap rakan yang datangdaripada pelbagai latar belakang etnik, agama dan budaya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud pada Majlis Perasmian Penutupan GRIP Kelab Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Afzan, di sini, pada Khamis.
Aaron berkata, selain berasaskan pendekatan pembelajaran interaktif dan pengalaman langsung, GRIP turut disusun secara sistematik melalui tiga kluster utama iaitu kenegaraan, budaya dan adat resam serta nilai-nilai murni.
"GRIP menjadi platform praktikal untuk melatih generasi muda menghayati nilai inklusifdan penerimaan kepelbagaian secara langsung," katanya.
Program GRIP yang dijalankan selama empat hari di sini melibatkan 200 pelajar dari seluruh negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami