Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun merupakan antara 35 pendatang tanpa izin yang ditahan atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi oleh Jabatan Imigresen Selangor di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya dekat sini pada Selasa.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata operasi yang bermula pada pukul 11 malam itu menyasarkan pusat hiburan berkenaan yang dipercayai menyediakan perkhidmatan tidak bermoral kepada pengunjungnya.

Tambah Mohamad Shukri semua yang ditahan terdiri daripada pelbagai warganegara yang berusia antara 15 hingga 40 tahun itu ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Mereka yang ditahan ialah seramai 18 orang warga Vietnam, empat orang warga Indonesia, dua orang dari Thailand, Myanmar (3), seorang dari China dan tujuh orang warga Bangladesh, daripada jumlah keseluruhan seramai sembilan orang yang ditahan adalah lelaki manakala selebihnya 26 orang wanita termasuk seorang remaja perempuan .

"Berdasarkan siasatan awal, kami percaya kesemua wanita yang ditahan termasuk remaja ini bekerja sebagai GRO di pusat hiburan berkenaan.

"Kesemua mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana telah tinggal lebih masa serta Peraturan 39(b) kerana melanggar syarat pas di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, semasa serbuan terdapat warga asing cuba melarikan diri dengan bersembunyi namun kecekapan anggota berjaya mematahkan cubaan tersebut.

Shukri berkata, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan majikan dan pemilik premis berkenaan, tindakan tegas termasuk pendakwaan akan dilakukan sekiranya terbukti pelanggaran undang-undang berlaku.

--BERNAMA