KUALA LUMPUR: GlaxoSmithKline Malaysia (GSK) menarik balik satu kumpulan 'Zyrtec-D (120mg/5mg Tablets x400) Allergy Relief and Nasal Decongestant Tablets' dengan nombor kumpulan 321907 dan tarikh luput Januari 2025 dicetak pada pek papan ubat (blister pack).

GSK dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan menarik balik produk itu adalah langkah berjaga-jaga selepas sebahagian unit ditemukan mempunyai kerosakan dan tidak dipek dengan betul.

"Semua pek dan/atau papan tablet daripada kumpulan ini ditarik balik daripada semua peringkat dalam pasaran Malaysia, termasuk yang telah dikeluarkan untuk pesakit.

"GSK memohon semua pesakit yang telah menerima tablet Zyrtec-D dari mana-mana kedai runcit, farmasi dan premis kesihatan dalam negara, untuk memulangkan semula produk itu dengan kadar segera kepada tempat asal diterima, dalam tempoh 15 hari," menurut kenyataan itu.

GSK turut menggesa pengamal perubatan untuk menghentikan preskripsi, pengeluaran, penjualan atau pengedaran produk daripada kumpulan ini, manakala pesakit perlu mendapatkan nasihat daripada penyedia penjagaan kesihatan mereka mengenai rawatan alternatif.

Menurut GSK, buat masa sekarang, tiada bukti bahawa kumpulan lain terjejas dan tiada aduan diterima mengenai produk itu daripada pasaran sejak 2018.

Syarikat berkenaan, bagaimanapun, memaklumkan penarikan itu tidak melibatkan 'Zyrtec Drop 10mg/ml', 'Zyrtec Solution 1mg/ml' dan 'Zyrtec Tablet 10mg', dan pesakt boleh meneruskan pengambilan ubat-ubatan tersebut.

Bagi maklumat lanjut mengenai penarikan produk itu, pelanggan dan penyedia penjagaan kesihatan boleh menghubungi GSK di talian 03-7495 2600, Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang, atau emel di [email protected].

"Pesakit yang telah diberi preskripsi dan produk dikeluarkan daripada kumpulan ini dan mempunyai sebarang pertanyaan, perlu menghubungi penyedia penjagaan kesihatan mereka terlebih dahulu.

"Farmasi, klinik dan hospital yang mempunyai produk ditarik balik untuk dipulangkan, sila terus hubungi Zuellig Pharma Sdn Bhd pada 1800-88-1388 atau emel [email protected].

"Sebarang perkara berkaitan maklumat keselamatan/ peristiwa mudarat, sila hubungi GSK Pharmacovigilance menerusi emel di [email protected]," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA