KUALA LUMPUR:Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) boleh dilaksanakan semula di Malaysia namun hanya ketika ekonomi negara lebih meyakinkan dan pendapatan rakyat meningkat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan pelaksanaan GST pernah disuarakan ketika beliau menjadi Menteri Kewangan pada suatu masa dulu.

Begitupun, beliau menangguhkannya kerana masih ramai rakyat Malaysia tergolong dalam kategori miskin dan akan terjejas dengan pelaksanaan cukai tersebut.

“Saya kaji pengalaman Kanada dan New Zealand yang jalankan cukai ini dengan baik tapi masa itu saya tangguhkan. Saya akui GST adalah sistem percukaian yang dianggap paling telus.

“Tapi kenapa saya ambil keputusan untuk tangguh pada ketika itu? Ini kerana pendapatan kalangan rendah itu terlalu rendah, jadi ia patut ada sempadan. Maknanya, kalaulah kata pendapatan pada waktu itu cecah RM3,000 minima, bolehlah kita mulakan GST.

“Tapi kita belum bersedia kerana keadaan itu semata-mata,” katanya dalam siaran langsung Program Minda Profesor Negara - Bicara Negarawan Siri-3 yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Majlis Profesor Negara pada Sabtu.

Tambahnya, berdasarkan keadaan ekonomi pada waktu itu, beliau mencadangkan supaya GST ditangguh lima ke enam tahun sehinggalah ekonomi negara benar-benar meningkat.

“Ramai yang masuk dalam kategori miskin pada waktu itu dan saya percaya yang paling banyak akan tertekan adalah masyarakat desa, orang Melayu juga.

“Kalaupun nak adakan GST, mesti ada pengecualian dan syarat-syarat lebih ketat. Tak boleh seperti mana GST diperkenalkan sebelum ini.

“Walaupun pendapatan negara bertambah namun ia mendera rakyat miskin,” tegasnya lagi