Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggesa Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) untuk meningkatkan mutu perkhidmatan ferinya sebelum bercadang untuk menaikkan kadar tambang perkhidmatan pengangkutan itu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata cadangan kenaikan tambang feri itu adalah sesuatu yang mengejutkan dan sangat tidak munasabah kerana ia terlalu tinggi.

Beliau berharap pihak SPPP tidak meneruskan cadangan tersebut sehingga mereka memastikan mutu perkhidmatan feri benar-benar berada di tahap terbaik.

“Kalau mahu naik pun saya rasa yang dituntut oleh rakyat ialah perkhidmatan yang ditambah baik. Kalau kita lihat perkhidmatan bertambah baik itu cerita lain, tetapi kalau perkhidmatan tidak ditingkatkan, naikkan pula tambang feri, saya rasa ini tidak munasabah.

“Kerajaan negeri minta pertingkatkan perkhidmatan feri yang dirasai rakyat, yang tidak banyak berubah selama ini,” tambah Guan Eng.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan SPPP yang mahu menaikkan kadar tambang ferinya.

Guan Eng sebelum itu hadir di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Ketua Menteri Di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (SPICE ) pada Khamis.

Turut hadir pada majlis rumah terbuka, Dipertua Dewan Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff serta Timbalan Ketua Menteri pertama dan kedua, Datuk Abdul Rashid Hasnon dan Prof Dr P. Ramasamy.

Pada 17 Februari lalu, pihak SPPP dilaporkan bercadang untuk membuat semakan tarif bagi perkhidmatan ferinya.

Mengikut cadangan itu, kadar tambang motosikal bakal dinaikkan daripada RM2 kepada RM3.50, kereta daripada RM7.70 kepada RM9, pejalan kaki dari RM1.20 kepada RM2 dan basikal dari RM1.40 kepada RM1.50.

Harga tiket bermusim untuk pelajar turut dicadang dinaikkan kepada RM6 daripada RM3 manakala dewasa kepada RM50 daripada RM30.

Manakala bagi lori dua gandar empat tayar, ia dicadang untuk dinaikkan kepada RM20 daripada RM13.20 sementara bagi lori dua gandar enam tayar, kepada RM40 daripada RM27.50.

SPPP telah mengeluarkan notis hebahan sejak Isnin lalu dengan pekelilingnya turut diletakkan di terminal feri di sebelah pulau dan tanah besar.

Orang ramai boleh mengemukakan pendapat mengenai kenaikan itu sebelum atau pada 2 Mac sebelum keputusan muktamad dibuat.

Kali terakhir tambang feri Pulau Pinang disemak adalah pada tahun 2005.

Penang Port Sdn Bhd (PPSB) yang mengendalikan feri Pulau Pinang sebelum ini dilaporkan mengalami kerugian 16 juta setiap tahun berikutan terpaksa menanggung kos bahan api yang tinggi bagi mengekalkan kadar tambang sedia.