KUALA LUMPUR: Penggunaan bahasa Melayu bagi urusan surat-menyurat di jabatan kerajaan, bertepatan dengan peruntukan yang termaktub dalam Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan, yang menekankan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi di tiga lapis pentadbiran negara.

Senator Prof Datuk Seri Awang Sariyan berkata, tiga lapisan pentadbiran yang dimaksudkan ialah pada peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam, namun beliau berpendapat pelaksanaan peruntukan Perkara 152(6) itu, bagaimanapun masih belum memuaskan.

"... selepas 66 tahun merdeka, masih ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang tidak mengutamakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi termasuk mesyuarat, penjenamaan program dan institusi, serta penggunaan bahasa di tempat awam.

"Program Audit Bahasa Melayu yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 2013 mendapati, masih berlakunya isu itu," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka berpendapat, sekiranya arahan itu dilaksanakan oleh sektor swasta, ia merupakan satu lonjakan penting bagi dasar bahasa kebangsaan, supaya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi turut dihormati dan diamalkan.

"Tema 'Negara kita tanggungjawab kita' yang pernah dijadikan tema sambutan Hari Kebangsaan pada satu masa dahulu, bererti bahawa semua sektor di negara ini perlu mengambil tanggungjawab bersama, melaksanakan dasar-dasar negara, termasuk dasar bahasa kebangsaan.

"Di Perancis misalnya, penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan negara turut meliputi sektor swasta, sehingga ada syarikat swasta yang didenda kerana tidak mengutamakan bahasa kebangsaan," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, bagi memartabatkan bahasa Melayu, beberapa inisiatif seperti pemberian rebat atau pemotongan cukai boleh diberikan kepada mana-mana pihak berkepentingan, yang membantu melaksanakan usaha tersebut.

"Kerajaan boleh memberikan pemotongan cukai atau rebat kepada syarikat dan pencipta aplikasi yang menggunakan bahasa Melayu dalam bahan mereka, kerana kebanyakan anak muda suka dihargai dan sekiranya dilakukan ia boleh menggalakkan penggunaan bahasa Melayu.

"Dalam pada itu, bahasa Melayu juga boleh dijadikan sebagai bahasa ilmu, kerana terdapat pelbagai makalah-makalah bagus di luar negara yang boleh diterjemahkan dalam bahasa Melayu, seterusnya akan mendekatkan lagi anak muda dengan ilmu," katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, peringatan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaras dengan tindakan yang dilakukan oleh beliau apabila rakyat melihat sendiri penggunaan beberapa perkataan bahasa Melayu tinggi, dalam setiap ucapannya.

"Perjuangan bahasa Melayu dalam diri Perdana Menteri tidak pernah luntur, kerana daripada dulu lagi beliau merupakan mahasiswa sastera Melayu, jadi bagi saya itu merupakan kesinambungan yang diterjemahkan dalam pentadbiran beliau pada hari ini," katanya.

Anwar semalam mengingatkan jabatan kerajaan untuk tidak melayan atau memulangkan sahaja mana-mana surat yang menggunakan selain bahasa Melayu, selepas menyedari beberapa pihak cuba meninggalkan asas Perlembagaan Persekutuan tersebut.

-- BERNAMA