KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM85,000 kepada seorang bekas Pengarah Malaysian Intellect Development Foundation (MIDF) atas tuduhan menggunakan dokumen pembayaran baucar RM75,000 palsu bagi program Tamil Schools Post COVID-19 Assistance (TAS-COVID), tahun lalu.

Tertuduh, S Vijaya Kumar, 47, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussain.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menggunakan sebagai tulen suatu dokumen iaitu Baucar Pembayaran MIDF berjumlah RM75,000, bertarikh 24 November 2020 kepada sebuah syarikat bagi pembayaran pensanitasi tangan, yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan dilakukan di Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra), Kementerian Perpaduan Negara, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya pada 2 Julai 2021.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dengan peruntukan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah menyediakan dokumen sokongan palsu iaitu baucar bayaran MIDF dalam laporan akhir kepada Mitra bagi perbelanjaan program TAS-COVID.

Hasil siasatan mendapati syarikat yang dinamakan dalam baucar bayaran tersebut tidak membuat pembekalan pensanitasi tangan bagi program itu.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar tidak dipenjarakan dan diberikan denda minimum.

Tertuduh juga menyatakan dia kesal dan berasa malu atas perbuatannya terhadap keluarga, kenalan dan masyarakat.

Selain itu, Vijaya Kumar menyatakan dia melakukan kesalahan itu atas arahan orang lain dan tiada transaksi kewangan daripada TAS-COVID dimasukkan ke akaunnya.

"Saya telah beri semua butiran program mengenai program TAS-COVID kepada pihak berkuasa dan tiada transaksi kewangan masuk ke akaun bank saya," katanya.

Tertuduh juga telah meletak jawatan daripada organisasi tersebut dan kini bekerja sebagai perunding bebas.

Bagaimanapun, Kalaivani memohon kepada mahkamah supaya tertuduh diberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan itu membabitkan wang berjumlah RM75,000.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, A Kalaivani memohon kepada mahkamah supaya menjatuhi hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius selain mengambil kira kepentingan awam.