JAKARTA: Gunung Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia mengeluarkan asap berwarna kelabu antara 100 hingga 200 meter dari puncaknya setinggi 725 meter, menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana (PVMBG) Indonesia pada Sabtu.

Agensi itu menyatakan dalam laporan hariannya bahawa cuaca di sekitar gunung berapi, satu daripada paling aktif di Indonesia berubah-ubah daripada cerah hingga mendung dengan tiupan angin lemah dari selatan dan suhu antara 28 hingga 30 darjah Celsius.

Video yang dikongsi oleh jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Abdul Muhari menunjukkan cuaca cerah di sekitar gunung berapi itu pada 7.56 pagi waktu Indonesia Tengah.

Abdul Muhairi dalam perjalanan dari Manado ke Pulau Tagulandang, terletak berhampiran Pulau Ruang di mana Gunung Ruang berdiri sendiri dalam daerah Sitaro.

"Mudah-mudahan aktiviti gunung berapi akan berkurang, membolehkan aktiviti masyarakat berjalan seperti biasa," katanya sambil meminta penduduk untuk tetap waspada dan mengosongkan radius tujuh kilometer di sekitar kawah Gunung Ruang.

Sementara itu, pengurusan lapangan terbang melalui Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) melanjutkan penutupan Lapangan Terbang Sam Ratulangi di Manado, 95 kilometer dari Gunung Ruang untuk hari kelima berturut-turut sehingga 6 petang hari ini kerana abu gunung berapi.

Susulan letusan Gunung Ruang Selasa lepas, pihak berkuasa telah meningkatkan amaran keselamatan ke tahap tertinggi dan memindahkan penduduk ke kawasan lebih selamat seperti yang diarahkan oleh Presiden Joko Widodo.

-- BERNAMA