KUALA KRAI: Bilangan pengunjung ke Gunung Stong naik mendadak dengan anggaran 1,000 orang pada hujung minggu dan cuti umum sejak pihak kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri pertengahan bulan lalu.

Bagi pengusaha pelancongan di kawasan Gunung Stong, Dabong di Kuala Krai, Kelantan situasi itu memberi kelegaan kepada mereka selepas kehilangan pendapatan susulan sektor pelancongan yang terpaksa ditutup ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Pengusaha pelancongan di Taman Negeri Gunung Stong menerima banyak pertanyaan dan tempahan daripada pelanggan sebaik sahaja kerajaan mengumumkan pembukaan gelembung perjalanan bagi aktiviti pelancongan ke kawasan tersebut.

Menurut Pengarah Urusan Stong Hill Resort, Mohd Yazil Elham Yahya, pelancong dari luar Kelantan juga mula datang ke kawasan itu, sama ada menaiki kereta api atau berkereta.

"Kalau menurut analisis kami pada hari Ahad, Jumaat dan Sabtu, kedatangan pengunjung ke resort kami ini boleh dikatakan mencecah 1,000 orang sehari.

"Terutama pada hari Ahad. Kalau hari biasa tidak juga kurang tapi dalam 200 hingga 300 orang sehari untuk masuk berkelah dan berekreasi di resort kami," katanya.

Bagi malim gunung serta pengunjung, keindahan dan keunikan alam semula jadi Gunung Stong sebagai latar fotografi menjadi bualan di laman sosial.

Menurut pengunjung Ahmad Mukhlis Rahimi, sebaik sahaja sektor pelancongan dibuka, dia terus mengambil kesempatan untuk melawati Gunung Stong ini.

"Sebenarnya saya suka alam sekitar yang tenang. Jadi apabila sektor pelancongan ditutup, terperap di rumah, saya rasa bosan dan apabila sektor pelancongan dibuka semula, saya terus ambil kesempatan datang ke sini," katanya.

Gunung Stong setinggi 1,433 meter terletak kira-kira 300 kilometer dari Kota Bharu antara lokasi eko-pelancongan terkenal di Malaysia.

Kawasan itu turut menempatkan Air Terjun Jelawang, setinggi 303 meter, yang juga tertinggi di Asia Tenggara.