KUALA LUMPUR:Penggunaan medium komunikasi yang berbeza oleh guru setiap subjek menjadi antara cabaran dihadapi ibu bapa dan pelajar yang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

Cabaran lain juga termasuk kekurangan peralatan seperti gajet dan komputer untuk melaksanakan proses PdPR disebabkan bilangan anak yang bersekolah masih ramai.

Menurut Martini Manaf, yang mempunyai dua anak yang bersekolah rendah dan menengah, terdapat kesukaran membuat persiapan PdPR secara dalam talian setiap kali pertukaran subjek disebabkan guru menggunakan platform komunikasi yang berbeza.

“Anak saya ada dua sekolah juga, sekolah agama dan sekolah kebangsaan, guru tidak memilih platform tetap untuk berkomunikasi kadang-kala melalui aplikasi Telegram, Whatsapp, Google Clasroom.

“Medium yang berbeza ini membuatkan ibu bapa jadi kelam-kabut untuk persediaan PdPR untuk anak-anak, jadi saya cadang selaraskan platform komunikasi untuk memudahkan proses tersebut.

“Jika tidak terpaksa bertukar platform jika setiap kali bertukar subjek, jika ada 10 subjek? Ibu bapa macam saya juga bekerja dari rumah (WFH) jadi fokus kami juga terganggu,” kata Martini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya Astro AWANI mengenai pengalaman ibu bapa dan pelajar dalam mengikuti PdPR secara dalam talian yang bermula 20 Januari lalu.

Dalam masa yang sama Martini kini terpaksa mempertimbangkan untuk membeli sebuah lagi gajet disebabkan sukar untuk anak-anaknya menggunakan gajet yang sama semasa sesi PdPR.

“Sukar apabila terdapat bilangan anak yang ramai dan mempunyai gajet yang terhad, ini akan memberi kesan kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai.

Kebimbangan paling ketara sebagai ibu bapa kata Martini ialah apabila subjek yang kini diajar secara dalam talian itu tidak habis sama seperti tahun lepas ketika PdPR diperkenalkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali diperkenalkan.

Ini termasuk pembaziran pembelian buku latihan yang diarahkan guru namun tidak digunakan semasa PdPR.

“Apabila nak buka sekolah, guru-guru telah berikan senarai buku latihan untuk dibeli, tetapi apabila sekolah dah buka dan PdPR secara dalam talian mereka tidak menggunakan buku-buku itu.

“Sesetengah guru berikan latihan kepada pelajar tetapi minta ibu bapa cetakkan, jadi kenapa menyuruh ibu bapa belikan buku latihan jika tidak menggunakannya?

“Tahun lepas saya perasan ada kelas dalam talian tetapi silibus ada yang tidak habis, jadi mungkin kementerian boleh memikirkan kaedah memastikan bahawa anak-anak kita ini akan tetap habiskan silibus setiap subjek itu ketika PdPR dan bagaimana untuk ‘catch up’ semula untuk mereka yang ketinggalan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Martini menyambut baik lanjutan pelepasan cukai khas RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember ini.

Jelasnya, ini dapat membantu meringankan beban ditanggung ibu bapa apabila terpaksa membeli gajet untuk anak-anak hadapi PdPR.

“Namun, terdapat keperluan untuk menambah kuota pemberian data 1 Gigabit kerana penggunaan pelajar untuk menyertai kelas secara dalam talian adalah lebih daripada yang diberikan itu,” ulasnya.

PdPR | Medium komunikasi berbeza oleh guru antara cabaran PdPR