GEORGE TOWN: Seorang guru di sebuah sekolah agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Pulau Pinang hari ini atas tiga pertuduhan meliwat dan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajarnya yang berusia 15 tahun.

Tertuduh yang berusia 29 tahun itu membuat pengakuan tersebut ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Teluk Kumbar, Pulau Pinang antara 20 November 2020 hingga 14 Mac lalu.

Tertuduh berdepan satu dakwaan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan dua dakwaan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum   penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.

Kes  dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabila Huda Muhammad Nazim manakala tertuduh diwakili peguam, Md. Yusuf Md. Idris.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh menghampiri mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 26 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.